Petronas meterai kontrak perkongsian pengeluaran bagi blok 63 dan 64 Suriname
diyana
18/12/2023 - 14:22
KUALA LUMPUR 18 Dis - Petronas Suriname E&P BV telah menandatangani kontrak perkongsian pengeluaran untuk blok 63 dan 64 luar pesisir Suriname dengan Staatsolie Maatschappij Suriname NV, iaitu syarikat minyak dan dan gas negara itu.
Menurut satu kenyataan media hari ini, anak syarikat Petronas memenangi blok tersebut, yang terletak di lembangan Guyana-Suriname, semasa Pusingan Bidaan Suriname Demerara 2022-2023 pada Jun 2023.
“Petronas Suriname E&P mempunyai 100% kepentingan penyertaan dan merupakan pengendali Blok 63.
“TotalEnergies akan mengendalikan Blok 64 dengan 40% kepentingan penyertaan, dengan baki faedah dibahagi sama rata antara Petronas Suriname E&P dan QatarEnergy,” katanya.
Blok 63 mempunyai keluasan 5,425 kilometer (km) persegi dan terletak kira-kira 200km di luar pesisir Suriname dengan kedalaman air kira-kira 1,700 meter.
Sementara itu, Blok 64 berkeluasan 6,262km persegi dan terletak 250km dari pantai dalam kawasan air yang sedikit cetek sedalam 1,300 meter.
Naib Presiden Eksplorasi Petronas, Mohd Redhani Abdul Rahman berkata blok ini adalah penting untuk usaha Petronas meneroka potensi sumber meluas Suriname di lembangan terbabit.
“Ini menggariskan aspirasi untuk membina kehadiran kami di negara ini dan mengukuhkan portfolio antarabangsa kami, terutamanya di benua Amerika.
“Kami teruja untuk bekerja bersama dengan pihak berkuasa hos dan rakan kongsi kami untuk mencapai lebih banyak pencapaian penting sambil memastikan tenaga yang selamat, mampu milik dan mampan kepada pasaran,” tambahnya.
Petronas Suriname E&P kini mengendalikan Blok 52 dalam perkongsian 50:50 dengan ExxonMobil Exploration and Production Suriname BV, serta Blok 48 dengan 100% kepentingan penyertaan.
Petronas Suriname E&P juga mempunyai 30% kepentingan penyertaan dalam Blok 53 dan rakan kongsi lain dalam blok itu adalah CEPSA Suriname SL dan pengendali APA Suriname Corporation LDC. - DagangNews.com

