PETRONAS mohon perbicaraan awal bagi mengetepikan injunksi Shell MDS susulan kerugian hasil bulanan RM80 juta

LocalBusiness & Finance
17 Jul 2025 • 5:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PETRONAS mohon perbicaraan awal bagi mengetepikan injunksi Shell MDS susulan kerugian hasil bulanan RM80 juta

image is not available

17/07/2025 - 17:52

KUALA LUMPUR 17 Julai - PETRONAS hari ini memohon tarikh perbicaraan awal daripada Mahkamah Rayuan bagai mengetepikan injunksi yang dikenakan Mahkamah Tinggi ke atas mereka bagi terus membekalkan gas kepada Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd di kemudahan Bintulu, Sarawak, walapun masih belum menerima sebarang bayaran.

Kegagalan pembayaran oleh Shell MDS berpunca daripada kewujudan invois daripada PETRONAS dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), serta kebimbangan Shell MDS terhadap kemungkinan perlu membuat bayaran dua kali sementara isu bidang kuasa antara kedua-dua syarikat itu diselesaikan.

Peguam PETRONAS, Datuk Dr Cyrus Das, yang hadir bersama Khoo Guan Huat dan Datuk Azian Mohd Aziz berkata, kumpulan itu mengalami kerugian lebih RM80 juta setiap bulan akibat kegagalan pembayaran tersebut, di mana jumlah itu disimpan dalam akaun Shell MDS susulan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang diberikan pada Januari lalu.

Das memaklumkan kepada hakim Datuk Azimah Omar, yang mengetuai panel tiga hakim itu yang mereka sedia untuk meneruskan rayuan seawal hari ini selepas mahkamah membenarkan mereka mengemukakan dua dokumen tambahan, termasuk pengisytiharan bersama yang dibuat oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak, serta satu invois bagi menunjukkan jumlah yang terjejas dalam rayuan tersebut.

Petros, yang merupakan pencelah dalam prosiding tersebut, mahu mengemukakan invois mereka sendiri.

Pada awalnya, peguam Petros, Foo Joon Liang, membantah permohonan PETRONAS untuk mengemukakan invois mereka, dengan alasan invois tersebut mengandungi fakta tidak tepat. Oleh itu, mereka juga ingin mengemukakan invois mereka sendiri.

Dengan persetujuan semua pihak, hakim Azimah bersama-sama hakim Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Ismail Brahim membenarkan kedua-dua pihak, PETRONAS dan Petros, mengemukakan dokumen tambahan yang akan digunakan dalam pendengaran rayuan.

Das kemudian menyatakan, mereka bersedia untuk meneruskan prosiding, namun Azimah memaklumkan kepada semua pihak — termasuk Shell MDS yang diwakili oleh peguam Christopher Leong dan Janet Chai Pei Ying — bahawa mahkamah perlu menetapkan tarikh lain, memandangkan pihak-pihak terlibat perlu memfailkan rekod rayuan tambahan berikutan kemasukan tiga dokumen baharu serta hujahan tambahan.

“Anak guam saya memohon agar tarikh pendengaran awal dapat ditetapkan — jika boleh minggu hadapan — kerana anak guam saya mengalami kerugian melebihi RM80 juta dari segi hasil susulan injunksi ini, walaupun Petronas terus membekalkan gas,” katanya, lapor The Edge.

Selepas rehat seketika dan perbincangan dengan pendaftar Mahkamah Rayuan, mahkamah menetapkan 11 Ogos sebagai tarikh sementara, namun jika semua pihak tidak dapat hadir pada tarikh tersebut, maka tarikh gantian ditetapkan pada 22 September ini.

Walaupun tidak disebut di mahkamah, kerugian hasil yang didakwa dialami PETRONAS akibat injunksi tersebut melebihi RM523 juta, manakala difahamkan Petros menuntut hampir RM600 juta.

Shell MDS telah memohon injunksi, yang telah dibenarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Arziah Apandi, untuk menggantung pembayaran kepada kedua-dua pihak, Petronas dan Petros, sambil memastikan bekalan gas terus disalurkan.

Arziah dalam keputusannya untuk membenarkan injunksi itu berkata, Shell MDS menghadapi risiko serta ancaman gangguan terhadap bekalan gasnya di bawah dua perjanjian jualan gas (GSA) yang bersaing, dengan implikasi kewangan memandangkan pembayaran bulanan yang dianggarkan antara RM70 juta hingga RM100 juta.

Tambah beliau, Shell MDS berusaha untuk meredakan keadaan dengan menawarkan untuk mengetepikan pembayaran dalam akaun berfaedah sementara menunggu penyelesaian. Namun, PETRONAS telah mengambil tindakan untuk menuntut jaminan bank, menurut penghakiman tersebut.

Injunksi itu diberikan berdasarkan penglibatan Shell MDS dalam dua perjanjian bekalan gas yang berasingan — satu dengan PETRONAS (ditandatangani pada 17 Julai 2020) dan satu lagi dengan Petros (ditandatangani pada 16 Ogos 2024) — dan syarikat minyak British itu bimbang akan risiko gangguan terhadap bekalan gasnya.- DagangNews.com

standard