PETRONAS salur lebih RM2.2 bilion menerusi Program Pembiayaan Vendor sejak 2018

LocalBusiness & Finance
2 Sep 2025 • 6:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PETRONAS salur lebih RM2.2 bilion menerusi Program Pembiayaan Vendor sejak 2018

image is not available

02/09/2025 - 18:32

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Sept – PETRONAS melalui Program Pembiayaan Vendor (VFP) telah menyalurkan lebih RM2.2 bilion kepada pembekal dalam sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) sejak program itu diperkenalkan pada 2018.

Naib Presiden Eksekutif PETRONAS & Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim, Datuk Adif Zulkifli, berkata, pada tahun 2024 sahaja, sebanyak RM300 juta telah disalurkan melalui VFP, yang direka untuk memperkukuh ketahanan kewangan vendor di tengah landskap tenaga yang berubah-ubah.

“VFP menawarkan kemudahan pembiayaan berstruktur melalui panel bank program, membolehkan pembekal mengekalkan operasi dan meningkatkan kapasiti perniagaan mereka.

“Program ini juga merupakan sebahagian daripada usaha PETRONAS untuk memperkukuh kerjasama dengan vendor dan memperkasa ekosistem OGSE secara menyeluruh,” katanya dalam ucaptama sempena Oil and Gas Asia (OGA).

Adif menyampaikan ucapan itu mewakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa inisiatif lain termasuk Program Pembiayaan Khas OGSE untuk vendor berskala kecil telah menyalurkan sebanyak RM73.4 juta kepada 47 pemohon sejak 2022.

Bagi tahun 2024, sebanyak RM31.9 juta disalurkan kepada 20 pemohon yang layak.

“Bagi Program Pembangunan Vendor (VDP) dan VDPx PETRONAS pula, kita telah membimbing lebih 170 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Daripada jumlah itu, 20 PKS telah berjaya melebarkan operasi ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Selain itu, Program Sokongan Pembekal yang dilancarkan tahun lalu, telah mendaftarkan lebih 400 vendor untuk membina kapasiti kelestarian dalam operasi mereka.

Tambahnya, bagi pembangunan bakat, PETRONAS bersama Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia serta Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas telah mengetuai Rangka Kerja Bakat Industri.

“Ia adalah untuk memetakan permintaan dan penawaran bakat dalam industri OGSE. Selain itu, PETRONAS juga bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan melalui Program Latihan Madani untuk melatih dan melengkapkan graduan tempatan dengan kemahiran yang diperlukan dalam sektor minyak dan gas.

“Semua inisiatif ini bertujuan memastikan rantaian bekalan PETRONAS tetap kukuh, kompetitif, dan bersedia menghadapi permintaan tenaga yang semakin meningkat, selaras dengan aspirasi masa depan rendah karbon.

“Langkah-langkah ini diharap dapat memperkukuh daya saing vendor tempatan, sambil menyokong transformasi tenaga PETRONAS ke arah lebih lestari dan inovatif,” katanya. - DagangNews.com

standard