
LAHAD DATU: Kerjasama strategik antara Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) dan Petronas Dagangan Berhad Sabah (PDBS) memberi peluang kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk membangun perusahaan mereka.
Pengarah DIDR, Siti Nur’Ain Abdullah berkata, DIDR sangat menghargai inisiatif berterusan PDBS dalam mendukung usaha memperkasa pembangunan usahawan tempatan, khususnya dengan memberikan peluang kepada PMKS memasarkan produk mereka di Kedai Mesra Petronas.
Katanya, DIDR memainkan peranan yang imperatif dalam menyelaras kemasukan usahawan tempatan ke dalam Program Pemasaran Produk IKS Sabah di Kedai Mesra Petronas.
“Menerusi inisiatif ini, DIDR bertindak sebagai penghubung utama antara para usahawan dan pihak Petronas, dengan menyediakan platform kepada usahawan PMKS Sabah untuk memasarkan produk mereka tanpa sebarang yuran dan caj dikenakan.
“Sejak pelaksanaannya pada tahun 2021, program ini telah membantu seramai 290 usahawan PMKS Sabah menembusi pasaran runcit, sekali gus memperluas capaian produk mereka ke rangkaian Kedai Mesra Petronas di seluruh Sabah,” katanya.
Siti Nur’Ain berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta IKS Siuk Bah @ Mesra Petronas di Stesen Petronas Batu 8, Jalan Silam, Sabtu.
Turut hadir ialah Pengusaha Stesen Petronas Batu 8, Jalan Silam, Ayu Fidura dan pegawai-pegawai dari Jabatan dan agensi kerajaan.
Menurut Siti, keberkesanan program ini dapat dilihat melalui jumlah hasil jualan produk IKS Sabah, yang telah mencatat nilai sebanyak RM3.47 juta dari tahun 2021 hingga 2025.
Katanya, DIDR amat menyokong inisiatif ini yang bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan usahawan PMKS, tetapi juga membuka peluang untuk memperkenalkan produk buatan Sabah kepada pelancong dan pengguna dari luar negeri.
“DIDR akan terus komited dalam menyokong dan mendukung usaha untuk memastikan produk usahawan Sabah kekal kukuh dan berdaya saing di pasaran.
“Saya juga berharap agar inisiatif ini dapat diperluaskan ke negeri Sarawak dan Semenanjung Malaysia bagi meningkatkan lagi daya saing usahawan PMKS Sabah,” tambahnya.
Terdahulu, Pengurus Operasi Runcit (Non Fuel) Sabah, Sarawak dan Labuan, Petronas Dagangan Berhad, Matthew Wong berkata, PDBS berbesar hati dapat memainkan peranan dalam membantu usahawan PMKS. Matthew berkata kejayaan yang dicapai dalam membantu usahawan PMKS Sabah tidak akan dapat dicapai tanpa kerjasama, komitmen dan sokongan dari semua pihak termasuk DIDR.
Justeru itu, dia berharap agar kerjasama ini dapat dipelihara bagi terus menyokong perkembangan usahawan PMKS.


