
Kota Kinabalu: Ia merupakan detik yang tidak dapat dilupakan bagi 42 graduan Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) kendalian Petronas dari 2017 dan 2018 apabila mereka melangkah untuk menerima diploma semasa majlis konvokesyen mereka, di sini, Selasa.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Rosmadi Datu Sulai menekankan bahawa Petronas terus komited ke arah pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan modal insan, khususnya di Sabah walaupun menghadapi cabaran industri di peringkat global.
“Ia sungguh menggembirakan apabila mengetahui bahawa graduan mendapat permintaan tinggi bukan sahaja untuk pengetahuan dan kemahiran mereka, tetapi juga kecekapan dan pengalaman praktikal mereka,” katanya sambil memuji usaha Petronas dalam menyokong pembangunan pendidikan negeri.
Katanya, inisiatif ini termasuk penubuhan KTC, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau dan penyampaian biasiswa pendidikan Petronas tahunan untuk pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
Tambahan pula, Rosmadi berkata sumbangan Petronas melalui Biasiswa dan Bantuan Latihan Institusi Vokasional (VISTA) membabitkan lima institusi di Sabah adalah petanda baik untuk meningkatkan kapasiti teknikal belia di negeri ini, menyatakan terdapat banyak program yang disediakan ke arah pembangunan bakat belia di negeri dan negara ini.
Melalui Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang ditandatangani antara kerajaan negeri dan Petronas pada 7 Dis 2021, Rosmadi berkata terdapat pelbagai rancangan dan program sedang dilaksanakan ke arah pembangunan Sabah termasuk modal insan.
“Melalui inisiatif bersama sebegini, kami menggalakkan lebih ramai pelajar di sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk memberi penekanan lebih kepada mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata lebih banyak tumpuan diberikan ke arah meningkatkan bilangan pakar tempatan dalam industri minyak dan gas. Beliau berkata penubuhan KTC pada 2011 mencerminkan komitmen Petronas untuk memenuhi permintaan tenaga kerja yang berkelayakan dan mahir dalam minyak dan gas di negara ini, khususnya di Sabah.
Pada majlis itu, Rosmadi menyampaikan skrol kepada graduan yang disaksikan oleh keluarga masing-masing.
Pusat latihan KTC kendalian Petronas setakat ini telah melahirkan seramai 174 graduan dengan hampir 100 peratus kadar pekerjaan oleh sektor minyak dan gas, selain industri lain.
Bagi Sarifuddin Usman, 22, salah seorang daripada tiga pelajar terbaik yang dianugerahkan anugerah pelajar terbaik berprestij, dia gembira kerana berpeluang menamatkan latihannya dengan KTC.
“Pencapaian hebat kami tidak mungkin diperolehi tanpa sokongan padu daripada jurulatih, rakan sekerja dan ahli keluarga kami,” katanya.
Sarifuddin berasal dari Tawau dan merupakan anak sulung daripada lima beradik. Bapanya, Usman Tandjeng bekerja sebagai pemandu lori, manakala ibunya, Andi Suraya Andi merupakan seorang suri rumah.
“Tidak dinafikan, kami tidak sabar untuk membuka lembaran baharu dalam kehidupan kami selepas mengharungi pelbagai cabaran, dan detik-detik yang tidak dapat dilupakan bersama,” kata Sarifuddin yang berada dalam kumpulan pelajar 2018.
Dua lagi pelajar terbaik adalah Syra Olivia Rayner, 23 tahun (kumpulan 2017) dari Papar dan Muhammad Uzayr Jasnih, juga 23 tahun, dari Membakut.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Technical Training Sdn Bhd, Idris Ibrahim berkata KTC ditubuhkan pada 2011 sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Petronas di Sabah, untuk menyokong pembangunan modal insan negeri, khususnya untuk industri minyak dan gas.
“KTC komited untuk membangunkan dan melengkapi golongan belia di Sabah dengan kemahiran dan kelayakan yang diperlukan untuk mereka menceburi industri minyak dan gas,” katanya.
KTC merupakan institusi pertama di Sabah yang diiktiraf sebagai Pusat Bertauliah oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia.
Ia menawarkan latihan tiga tahun peringkat diploma sepenuh masa dalam Instrumentasi Industri dan Sistem Kawalan – Pemantauan dan Kawalan (Tahap 4), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM).
KTC juga bekerjasama dengan Akademi Binaan Malaysia (ABM) untuk menyediakan latihan berkaitan perancah untuk belia Sabah di bawah program VISA.
Hadir sama pada majlis itu termasuk Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Datuk Awang Shaminan Awang Sahari, Ketua Pelaburan Modal Insan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas Syed Mohamad Muhafiz Syed Bakar serta Ketua Petronas Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab.
