
Bekalan dihantar terus dari terminal Senari bagi menampung bekalan di Bintulu dan Miri buat sementara waktu
Petros Ambil Tindakan Segera Atasi Gangguan Bekalan LPG di Miri dan Bintulu. Petroleum Sarawak Berhad (Petros), melalui anak syarikatnya PETROSNiaga Sdn Bhd, sedang mengambil langkah segera bagi memastikan bekalan gas petroleum cecair (LPG) dalam silinder mencukupi di Miri dan Bintulu.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, menjelaskan bahawa gangguan bekalan LPG di kawasan tersebut berpunca daripada bencana alam.

“PETROSNiaga telah menghantar bekalan dari terminal Senari di Kuching ke Miri dan Bintulu kerana loji pembotolan di Bintulu kini tidak beroperasi akibat tanah runtuh,” katanya.
Ketika bercakap kepada wartawan selepas mengiringi Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam lawatan kerja ke fasiliti Battery Energy Storage System (BESS) di Loji Janakuasa Sejingkat hari ini, Julaihi meminta pengguna agar bersabar kerana PETROSNiaga sedang berusaha sedaya upaya menghantar bekalan dari Senari.
Kenaikan harga tidak wajar akan dikenakan tindakan tegas
Berhubung kebimbangan mengenai kenaikan harga oleh pengedar, Julaihi menegaskan bahawa beliau telah mengarahkan Petros untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menaikkan harga secara tidak wajar.
Beliau juga menekankan bahawa harga LPG bersubsidi yang ditetapkan kerajaan kekal pada RM26.60 dan hanya untuk kegunaan domestik.
“Saya berharap pengedar tidak mengambil kesempatan dalam situasi yang sukar ini. Semua pihak perlu bekerjasama dalam waktu kritikal akibat bencana alam ini,” katanya.
Dalam pada itu, Julaihi turut mendedahkan bahawa PETROSNiaga telah melabur sebanyak RM50 juta untuk memperkenalkan 350,000 silinder LPG baharu, sekali gus menggandakan bekalan dan membawa jumlah keseluruhan silinder LPG yang beredar di Sarawak kepada 1.8 juta.
Baru-baru ini, tular bekalan tong gas LPG tidak mencukupi di Miri sehingga menjejaskan peniaga dan pengguna isi rumah

