hamden01/10/2026 - 15:38 Terminal penyimpanan terapung dan regasifikasi (FSRU) milik Höegh Evi di Cartagena, Colombia. FSRU yang sama bakal dibina di Kuching, di lokasi luar pesisir yang sesuai. - Gambar/ Höegh Evi/ PETROS Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 1 Okt - Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) memeterai Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) dengan Höegh Evi bagi membangunkan Terminal Gas Asli Cecair (LNG) Kuching, yang dijangka menjadi kemudahan regasifikasi LNG pertama di Sarawak.
Höegh Evi, peneraju global dalam infrastruktur tenaga maritim yang berpangkalan di Norway dan mempunyai pengalaman lebih 50 tahun dalam memiliki serta mengendalikan terminal LNG terapung di seluruh dunia.
PETROS dalam kenyataan berkata, pembangunan terminal itu merupakan sebahagian daripada Hab Rendah Karbon Kuching (KLCH), dengan kemudahan berkenaan akan menyalurkan gas asli secara terus ke Kuching dan kawasan sekitarnya bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat serta memperkukuh keselamatan tenaga Sarawak.
PETROS berkata bekalan gas yang boleh dipercayai ke Kuching akan menjadikan Terminal LNG itu pemangkin utama kepada KLCH, selain menyokong penjanaan kuasa dan meletakkan asas bagi pembangunan industri yang lebih luas.
Di bawah JDA berkenaan, PETROS dan Höegh Evi akan membangunkan, memiliki serta mengendalikan Terminal LNG Kuching secara bersama.

Terminal itu akan merangkumi unit penyimpanan dan regasifikasi terapung (FSRU), infrastruktur tambatan, saluran paip dasar laut dan darat serta kemudahan penerimaan di darat.
Kerjasama itu menggabungkan peranan PETROS sebagai Pemaju Utama KLCH yang menerajui pembangunan ekosistem perindustrian rendah karbon bersepadu, dengan pengalaman antarabangsa Höegh Evi dalam membangunkan dan mengendalikan FSRU serta infrastruktur tenaga maritim.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS, Datuk Janin Girie berkata, Terminal LNG Kuching merupakan pelaburan strategik bagi memacu fasa seterusnya pembangunan ekonomi Sarawak.
“Dengan mewujudkan infrastruktur kritikal yang diperlukan bagi membawa gas asli ke Kuching, Terminal LNG ini akan membantu membina ekosistem yang menarik pelaburan bernilai tinggi, membolehkan industri baharu diwujudkan dan membuka potensi Kuching sebagai pusat pertumbuhan perindustrian baharu,” katanya.
Projek itu menyasarkan penyaluran gas pertama menjelang akhir 2029, manakala PETROS dan Höegh Evi akan terus menilai peluang untuk mempercepatkan pelaksanaan sejajar dengan pertumbuhan permintaan tenaga dan tahap kesiapsiagaan projek.
Selain menyokong penjanaan kuasa, Terminal LNG Kuching itu turut direka untuk menampung pelbagai perkhidmatan berpotensi, termasuk pengedaran LNG berskala kecil, pemuatan lori, pengisian bahan api kapal, penyimpanan dan aktiviti pemuatan semula.
PETROS berkata komponen berkenaan akan membolehkan terminal membekalkan gas ke Kuching, selain menyediakan fleksibiliti untuk memperluaskan bekalan gas ke bahagian lain di Sarawak bagi memenuhi keperluan tenaga negeri yang terus berkembang. - DagangNews.com

