Petunjuk baharu bahtera Nabi Nuh mungkin tertanam di gunung Turkiye

2 Sep 2026 • 12:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Petunjuk baharu bahtera Nabi Nuh mungkin tertanam di gunung Turkiye

ANKARA: Kumpulan saintis yang menjalankan penyelidikan ke atas struktur berbentuk kapal di kawasan pergunungan tinggi di Turkiye menemukan petunjuk baharu bahawa bahtera Nabi Nuh kemungkinan tertanam di bawah kawasan berkenaan.

Pasukan penyelidik antarabangsa yang memeriksa Formasi Durupınar berhampiran Gunung Ararat mengesan kan­dungan karbon sangat tinggi dalam sampel tanah.

Ujian makmal mendapati kandungan karbon di bahagian dalam formasi berkenaan adalah jauh lebih tinggi berban­ding sampel tanah yang diambil beberapa meter sahaja di luar kawasan struktur tersebut pada lereng bukit sama.

Para penyelidik menjelaskan bahawa perbezaan tersebut berpotensi menunjukkan wujud­nya himpunan bahan organik, kemungkinan tinggalan kayu purba, meskipun tiada sebarang struktur kayu yang ditemukan setakat ini.

“Jumlah karbon yang dikesan dari bahagian dalam kapal adalah 40 peratus lebih tinggi berbanding apa yang ditemukan di bahagian luar,” kata ketua pakar arkeologi, Dr Cenker Atila.

“Dapatan ini menguatkan andaian bahawa mungkin wujud bahan organik atau sisa-sisa kayu di situ,” tambah beliau.

Selain itu, imbasan radar terbaharu turut mendedahkan anomali bawah tanah yang bersilang pada sudut tegak, yang berkemungkinan menunjukkan kewujudan ruang rongga atau pembahagi struktur di bawah permukaan tanah.

Formasi berkenaan terletak kira-kira 29 kilometer ke selatan Gunung Ararat, puncak tertinggi di Turkiye dan telah mencetuskan pelbagai spekulasi me­ngenai bahtera Nabi Nuh sejak ia mula dikenal pasti menerusi gambar dari udara pada tahun 1959.

Berdasarkan laporan tempatan, kejadian hujan lebat dan gempa bumi pada Mei 1948 telah menghanyutkan lumpur di sekeliling kawasan tersebut, sekali gus mendedahkan struktur misteri itu yang pertama kali ditemui oleh seorang gembala.

Bencana banjir besar itu  dianggarkan berlaku lebih 4,300 tahun lalu. – AGENSI

 

The post Petunjuk baharu bahtera Nabi Nuh mungkin tertanam di gunung Turkiye appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved