PG Jewel buka cawangan ketiga di Johor Bahru selepas Kota Kinabalu dan Ipoh

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2025 • 3:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PG Jewel buka cawangan ketiga di Johor Bahru selepas Kota Kinabalu dan Ipoh

image is not available

11/08/2025 - 15:42

Tetamu istimewa, Marlia Ramli mencuba gelang tangan Ratu Srikandi Emas Au 999.9 baharu bersama suaminya Fuad Md Arif semasa maljlis pelancaran PG Jewel. Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Ogos - PG Jewel Sdn Bhd, anak syarikat Aurora Italia International Bhd (AIIB) membuka kedai fizikal ketiga di Taman Molek Johor Baharu didorong permintaan kukuh daripada pelanggan serta sebahagian daripada perancangan untuk membuka 200 cawangan di seluruh negara dalam beberapa tahun akan datang.

Misi membuka kedai fizikal telah bermula pada Jun 2025 dengan pembukaan kedai utama PG Jewel di Kota Kinabalu, Sabah, diikuti oleh kedai kedua di Ipoh, Perak pada Julai 2025, dan kini kedai ketiga di Johor Bahru dan ia menandakan pencapaian luar biasa membuka kedai baharu pada setiap bulan di seluruh Malaysia sejak Jun lalu.

Kedai PG Jewel itu menampilkan pelbagai pilihan barang kemas dan produk emas koleksi yang menggabungkan keanggunan klasik dengan reka bentuk moden, dengan pilihan emas dalam mutu 999 (24K) dan 916 (22K), setiap ciptaan emas PG Jewel mencerminkan komitmen terhadap kualiti, warisan, dan inovasi.

Pengarah PG Jewel, Jessie Ng berkata, didorong semangat untuk menyediakan produk emas yang berkualiti tinggi dan halus kepada pengguna, pihaknya yakin pengguna di selatan Semenanjung Malaysia akan mendapat manfaat besar daripada kewujudan kedai fizikal itu.

“Produk PG Jewel ditawarkan pada harga mampu milik untuk semua lapisan pendapatan, dengan barang kemas dan jongkong pelaburan emas tersedia dalam pelbagai saiz dan jenis – kini semua orang boleh memiliki emas fizikal mengikut kemampuan kewangan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

image is not available
Pengarah PG Jewel, Jessie Ng

Sempena pelancaran kedai baharu di Johor Bahru, PG Jewel turut mempamerkan beberapa koleksi barang kemas eksklusif selain turut melancarkan produk baharu – gelang Ratu Srikandi Au 999.9 terkini yang melambangkan keanggunan dan keteguhan wanita.

Bukan itu sahaja, sebagai jenama yang memahami keperluan pelanggan, PG Jewel turut menawarkan perkhidmatan belian balik emas terpakai, membolehkan pelanggan menukar emas lama kepada yang baharu pada harga tertinggi di pasaran.

Selain barang kemas, PG Jewel turut menampilkan koleksi Aurora Italia yang terdiri daripada jongkong emas Au 999.9, tersedia dalam saiz 0.25g, 0.5g, dan 1g.

Jongkong koleksi ini menampilkan reka bentuk bertema, termasuk mercu tanda Malaysia dan koleksi berlesen eksklusif daripada Marvel©, Disney©, Warner Bros©, DC©, dan Sanrio© – menjadikannya hadiah yang sempurna atau sebagai koleksi peribadi.

Jenama itu juga menawarkan rangkaian barang kemas perak di bawah koleksi Aurora Italia, yang menarik minat mereka yang menghargai reka bentuk moden dengan nilai yang berkekalan.

PG Jewel bakal membuka satu lagi kedai fizikal baharu di Taiping, Perak pada September 2025, sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan pesatnya di seluruh Malaysia.- DagangNews.com

standard