PGA bongkar kilang kitar semula haram, rampas bateri RM76,000

LocalEnvironment
7 Apr 2026 • 1:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Radzi (dua dari kanan) menunjukkan barang rampasan hasil serbuan ke atas sebuah kilang kitar semula di Bukit Ibam, Rompin pada Isnin.

ROMPIN – Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 76 beg berisi bahan dipercayai bateri yang telah dileraikan, dianggarkan bernilai RM76,000 dalam serbuan Op Hazard 3.0 di sebuah kilang kitar semula haram di Bukit Ibam, Muadzam Shah, di sini pada Isnin.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata, turut disita mesin peleburan dianggarkan bernilai RM300,000 yang ditemui dalam kawasan kilang terbabit.

Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya menahan seorang pekerja warganegara Pakistan yang merupakan penjaga kilang tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Ahmad Radzi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan pemilik premis berkenaan untuk tindakan lanjut.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, bateri terpakai itu dipercayai dibawa masuk dari luar negara dan juga sumber tempatan.

“Bateri terpakai yang dikumpulkan itu bagaimanapun belum melalui proses peleburan,” katanya.

Jelasnya, Op Hazard 3.0 disertai 60 anggota penguat kuasa terdiri daripada PGA, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta pihak berkuasa tempatan.

“Dalam operasi ini, tiga kilang diperiksa iaitu dua di Kuantan dan sebuah kilang di Bukit Ibam, Rompin,” katanya.

Difahamkan sebelum ini, kilang berkenaan diserbu pada Ogos 2024 dan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar bagi siasatan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.