
Rampasan balak haram di Saratok
PGA Sarawak Rampas Barangan Seludup Dan Balak Haram Bernilai RM4.8 Juta. Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak berjaya merampas barangan bernilai lebih RM4.8 juta dalam dua operasi berasingan semalam.
Menurut Komander Briged PGA Sarawak, SAC Dr Che Ghazali Che Awang, operasi pertama yang dinamakan Op Taring Libas dijalankan sekitar jam 9.30 pagi apabila pasukan risikan Batalion 23 PGA Sri Aman menyerbu sebuah lokasi di Saratok selepas menerima maklumat mengenai aktiviti pembalakan haram.

“Hasil operasi, pasukan berjaya menemui 85 batang balak pelbagai jenis.
“Susulan itu, kesemua balak serta enam buah kenderaan pelbagai jenis turut dirampas dengan nilai keseluruhan anggaran sebanyak RM3.23 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tiga lelaki tempatan berusia antara 34 hingga 56 tahun ditahan untuk siasatan lanjut. Menurut Che Ghazali, suspek dan barangan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Hutan Sri Aman untuk tindakan lanjut di bawah Ordinan Hutan Sarawak 2015.
Sementara itu, dalam operasi berasingan yang dikenali sebagai Op Taring Bravo 3, PGA Briged Sarawak menjalankan serbuan di dua premis di Padawan dan Kota Samarahan yang disyaki menyimpan serta mengimport produk ternakan tanpa permit sah.
“Hasil serbuan, sebanyak 36,178 kilogram ayam dan daging lembu sejuk beku berjaya dirampas,” kata Che Ghazali, sambil menambah bahawa dua kontena serta tiga kenderaan turut dirampas.
Nilai keseluruhan barangan yang disita dalam operasi ini dianggarkan bernilai RM1.6 juta.
“Dua lelaki dan tiga wanita tempatan berusia antara 23 hingga 55 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan,” tambahnya.
Kesemua suspek dan barangan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 9(1)(3) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.
Dalam perkembangan berkaitan, Che Ghazali mendedahkan bahawa sejak awal tahun ini hingga semalam, keseluruhan Op Taring telah membawa kepada rampasan bernilai RM153 juta membabitkan 61 kes di seluruh Sarawak, menyebabkan seramai 130 individu ditahan.
Baca juga artikel yang berkaitan:


