
PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) diminta tidak bertindak seolah-olah mempunyai kuasa menentukan sama ada seseorang wajar diberikan pengampunan atau sebaliknya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara berhubung pengampunan bukan untuk diputuskan melalui kenyataan politik atau perbicaraan di media sosial.
Menurut beliau, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan menetapkan proses yang jelas melalui Lembaga Pengampunan dan proses berkenaan perlu dihormati semua pihak.
“Mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan, mensabitkan dan menjatuhkan hukuman, manakala Jabatan Penjara bertanggungjawab melaksanakan hukuman tersebut.
“Selepas sabitan dan hukuman, Perlembagaan menyediakan proses tersendiri bagi mempertimbangkan permohonan pengampunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahdzir berkata, permohonan pengampunan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak bukan penolakan terhadap keputusan mahkamah, perbicaraan semula atau rayuan politik.
Sebaliknya, jelas Mahdzir, ia merupakan hak untuk memohon pertimbangan melalui saluran sah yang disediakan Perlembagaan.
“Kuasa pengampunan merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang berteraskan ihsan bagi mengimbangi neraca keadilan setelah proses undang-undang selesai.
“Tiada parti politik berhak mendahului atau cuba mempengaruhi pertimbangan tersebut dengan menentukan lebih awal siapa yang layak atau tidak layak menerima pengampunan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mendakwa terdapat pemimpin dan penyokong PH yang secara terbuka mendesak supaya permohonan Najib tidak diperkenankan.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja mendahului proses Lembaga Pengampunan, malah boleh dilihat sebagai cubaan memberikan tekanan politik terhadap suatu pertimbangan yang sepatutnya berlangsung secara bebas dan tertib.
“Malaysia berdiri atas prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Menghormati Perlembagaan bukan bermaksud memilih peruntukan yang disukai dan menolaknya apabila melibatkan lawan politik,” katanya.
Mahdzir berkata, Perlembagaan tidak berubah mengikut warna parti atau nama individu.
“UMNO Kedah akan terus menjunjung institusi Raja-Raja Melayu serta menghormati apa-apa keputusan yang dibuat selaras dengan kerangka Perlembagaan,” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post PH jangan dahului kuasa Lembaga Pengampunan – UMNO Kedah appeared first on Kosmo Online.





