KOTA KINABALU - Pakatan Harapan (PH) Sabah mengumumkan penstrukturan semula kepimpinan negeri dengan menampilkan gabungan muka baharu dan tokoh berpengalaman, bagi memperkemas organisasi serta memperkukuh persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, penstrukturan itu diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan PH Sabah bagi sesi 2024–2025 yang turut membincangkan pengukuhan jentera parti di peringkat negeri.
"Kita telah membincangkan penstrukturan semula jawatan-jawatan penting dalam PH Sabah. Kita cuba memanfaatkan pengalaman tokoh-tokoh dalam parti," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Majlis Pimpinan Negeri PH Sabah, di sini, pada Ahad.
Antara pelantikan baharu termasuk Datuk Ruji Ubi sebagai Setiausaha PH Sabah.
Menurut Mustapha, pengalaman Ruji yang pernah menjawat Ketua Setiausaha di beberapa kementerian diyakini mampu membantu memperkukuh operasi parti.
Selain itu, Penolong Setiausaha Amanah Sabah, Irwan Shah Mustapa dilantik sebagai Bendahari, manakala Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin pula dilantik sebagai Pengarah Penerangan.
Beberapa jawatan utama lain turut dikekalkan, termasuk Mustapha sebagai Pengerusi, Timbalan Pengerusi masing-masing Datuk Phoong Jin Zhe dan Datuk Lahirul Latigu, Ketua Pemuda Zaidi Jatil, Ketua Wanita Datuk Jannie Lasimbang serta Ketua Pengarah Pilihan Raya, Datuk Peto Galim.
Mengulas mengenai persediaan menghadapi PRU, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, perkara itu turut menjadi fokus utama dalam mesyuarat berkenaan.
"Sudah masanya kita bincang jentera parti. Kita tidak tahu bila PRU, tetapi persediaan perlu bermula sekarang. Semangat rakan-rakan sudah pulih dan kita bersedia menghadapi PRU," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa PH Sabah akan mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU lalu.
