PH Sarawak terbuka berunding dengan parti bukan GPS untuk PRU15

Politics
2 Sep 2022 • 4:17 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUCHING: Pakatan Harapan (PH) Sarawak terbuka untuk berunding dengan mana-mana parti bukan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusinya Chong Chieng Jen(gambar).

Chong yang juga Pengerusi DAP Negeri berkata PH bersedia untuk membentuk mana-mana pakatan pilihan raya bagi mengelak pertembungan tiga penjuru yang hanya akan meningkatkan peluang kemenangan GPS.

Beliau berkata PH Sarawak juga telah menyelesaikan pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponennya iaitu DAP, PKR dan Amanah.

“Kami akan mengekalkan status quo (daripada PRU14), semua parti PH akan bertanding di kerusi yang sama pada 2018...tetapi kami terbuka untuk berunding dengan parti bukan GPS,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Chong berkata setiap parti komponen dalam PH Sarawak diberi kelonggaran untuk berunding dengan parti bukan GPS mengenai peruntukan kerusi mereka.

Mereka diberi kuasa untuk berunding dengan parti bukan GPS, sama ada untuk melepaskan atau terus bertanding di kerusi yang diperuntukkan. Mereka tidak perlu merujuk kepada PH untuk berbincang,” katanya.

Selain PH Sarawak, parti pembangkang lain di negeri ini seperti Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Parti Bangsa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) dan Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) turut membangkitkan cadangan sama untuk bekerjasama pada PRU15.-Bernama