PH sedia kerja keras bantu rampas DUN Nenggiri

Politics
21 Jul 2024 • 5:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Jentera PH sedia membantu BN merampas semula kerusi DUN Nenggiri pada PRK 17 Ogos ini.

image is not available
Mohamad semasa merasmikan pelancaran jentera PRK Nenggiri di Pejabat Amanah Kawasan Gua Musang pada Ahad.

GUA MUSANG - Jentera Pakatan Harapan (PH) sedia bekerja keras bagi membantu Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada pilihan raya kecil (PRK) 17 Ogos ini.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jentera parti akan duduk semeja dan bergerak seiring bersama BN untuk memastikan kemenangan menjadi milik gabungan itu.

**media[2734497]**

"Gerak kerja bersama itu melambangkan penyatuan dan perpaduan utuh gabungan PH dan BN.

"Alhamdulillah hari ini kita lancarkan jentera pilihan raya Parti Amanah Negara (Amanah). Melihat kepada komitmen, saya yakin BN mampu merampas semula kerusi Nenggiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran jentera PRK Nenggiri di Pejabat Amanah Kawasan Gua Musang di sini pada Ahad.

Menurut beliau, pelancaran awal jentera itu bagi membolehkan gerak kerja disusun dengan lebih kemas dan mantap.

Ujarnya, beliau mahu jentera PH dan BN turun ke Nenggiri dengan lebih tersusun dalam membantu kerja-kerja berkempen untuk calon.

Pada PRK Nenggiri, BN menamakan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon.