
PH Umum Tarik Sokongan Terhadap Pentadbiran Kerajaan Melaka
MELAKA, 14 Julai (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) hari ini mengumumkan gabungan itu menarik sokongan terhadap pentadbiran kerajaan Melaka yang diterajui Barisan Nasional (BN).
Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong berkata lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH melibatkan empat daripada DAP dan satu wakil Amanah akan melepaskan semua jawatan disandang dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau berkata tindakan itu ekoran bantahan terhadap Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 bagi membolehkan pelantikan tidak melebihi tujuh ADUN secara lantikan yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini yang bercanggah dengan pendirian DAP Melaka.
“Bermakna semua wakil rakyat daripada PH menolak enakmen berkenaan termasuk Allex Seah (ADUN Kesidang) selaku Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri.
“Maka, untuk mengikut prinsip demokrasi (yang diamalkan dalam) Dewan, kita akan keluar daripada (pentadbiran) kerajaan Melaka,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Seri Negeri, di sini hari ini.
ADUN DAP yang lain ialah Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang juga ADUN Kota Laksamana Low Chee Leong; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Leng Chau Yen (Banda Hilir); dan Timbalan Speaker DUN Melaka Kerk Chee Yee (Ayer Keroh).
Wakil tunggal Amanah pula ialah ADUN Bukit Katil Adly Zahari, namun beliau tidak mempunyai sebarang jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Khoo berkata sebagai anggota parti yang bertanggungjawab, mana-mana ADUN yang berada dalam pentadbiran kerajaan negeri tidak seharusnya menolak sebarang usul yang dikemukakan dalam sidang DUN.
Namun, katanya, langkah sebaliknya diambil oleh wakil DAP dalam pentadbiran kerajaan negeri, sekali gus menyaksikan empat ADUN berkenaan dilihat tidak lagi menyokong kerajaan semasa.
Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata beliau tidak mempunyai kuasa untuk menghalang tindakan ADUN PH, terutamanya daripada DAP untuk meletak jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Hal ini kerana, katanya, BN tidak menubuhkan kerajaan negeri dengan PH, justeru tidak timbul isu ADUN berkenaan meletak jawatan dalam pentadbiran hari ini.
“Apa-apa pun keputusan dibuat oleh rakan DAP yang menyatakan bahawa tidak bersetuju dengan cadangan ini dan mengumumkan menarik diri daripada kerajaan, saya tidak boleh menghalang keputusan parti mereka.
“Dalam majoriti pembentukan kerajaan Melaka selepas pilihan raya (negeri) yang lepas, kita tidak membentuk kerajaan dengan mana-mana parti lain untuk mendukung pembentukan sebuah kerajaan (negeri),” katanya.
Melaka mempunyai 28 kerusi DUN dan mana-mana parti yang mahu membentuk kerajaan negeri perlu mendapat majoriti mudah, iaitu 15 kerusi, dan pada Pilihan Raya Negeri 2021, BN memperoleh 21 kerusi.
Sehubungan dengan itu, tindakan lima ADUN PH menarik sokongan terhadap pentadbiran kerajaan negeri pimpinan BN ketika ini tidak memberikan kesan terhadap perkara berkenaan.






