Pharmaniaga lengkapkan terbitan hak & penempatan swasta, hampir tamatkan status PN17

31/07/2025 - 15:29
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 31 Julai – Pharmaniaga Bhd berjaya menyelesaikan dua komponen penting dalam Pelan Regularisasi (RP) syarikat, iaitu terbitan hak dan penempatan swasta, sekali gus mengukuhkan kedudukannya untuk keluar daripada status PN17.
Syarikat itu dalam kenyataan berkata, sebanyak 3.46 bilion saham terbitan hak boleh alih telah dilanggan sepenuhnya, dengan kadar lebihan langganan sebanyak 26.14%, mencerminkan sokongan dan keyakinan tinggi daripada para pemegang saham sedia ada.
“Latihan penempatan swasta pula berjaya menarik penyertaan 19 pelabur baharu, melibatkan 1.66 bilion saham penempatan bernilai keseluruhan RM223.7 juta,” katanya.
Meskipun berlaku suntikan ekuiti baharu, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd (BHB) kekal sebagai pemegang saham utama dengan pegangan agregat sebanyak 43.9% – masing-masing 8.7% dan 35.2%.
Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Zulkifli Jafar berkata, Pharmaniaga kekal sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terus memfokuskan kepada kepentingan nasional dan kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia.
“Lebihan langganan terbitan hak mencerminkan pengiktirafan pasaran terhadap asas perniagaan kukuh, pelan pemulihan serta keupayaan pengurusan Pharmaniaga.
“Kami juga melihat penyertaan pelabur institusi dan bereputasi dalam penempatan swasta sebagai pengesahan terhadap peranan Pharmaniaga dalam memperkukuh daya tahan sistem penjagaan kesihatan negara serta keupayaan farmaseutikal kendiri – satu aspirasi bersama negara,” katanya.
Dengan kedua-dua fasa pengumpulan dana telah diselesaikan, Pharmaniaga kini memasuki fasa akhir RP iaitu pelaksanaan latihan pengurangan modal yang disasarkan selesai pada pertengahan Ogos 2025.
Langkah itu dijangka memperkukuh kedudukan kewangan Kumpulan bagi mengurangkan pinjaman dan memperluas operasi dalam bidang berimpak tinggi seperti pembangunan insulin manusia, vaksin dan ubat generik.
“Kami sedang giat membangunkan kemudahan pengeluaran insulin dan vaksin pertama milik tempatan, selain memperkukuh rantaian logistik menerusi pembinaan gudang baharu dan mengekalkan momentum kukuh operasi di Indonesia.
“Pharmaniaga turut merakamkan penghargaan kepada semua pemegang saham, pengawal selia, institusi kewangan, rakan niaga, pekerja dan pelanggan atas sokongan berterusan dalam proses pemulihan ini,” katanya.
Tambah syarikat itu, fokus seterusnya adalah terhadap kecemerlangan operasi, inovasi produk, pengoptimuman kos dan kelestarian perniagaan jangka panjang merentas semua segmen. - DagangNews.com
standard
