
PETALING JAYA: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) hari ini menyantuni seramai 47 anak yatim Rumah Amal Al-Firdaus Denai Alam, Shah Alam menerusi program Waves of Joy bersempena cuti persekolahan kali ini.
Program julung kali itu adalah sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab korporat syarikat yang diadakan di Taman Tema Sunway Lagoon.
Pengurus Besar Jabatan Strategi Korporat PHB Muhammad Zikri Kamardin berkata program kemasyarakatan berkenaan bertujuan memupuk nilai murni dan keprihatinan, kasih sayang dan nilai kesyukuran antara warga kerja PHB bersama golongan yang kurang bernasib baik.
“Selain itu, aktiviti ini juga merupakan usaha PHB dalam memacu pertumbuhan ekonomi dengan memastikan amalan terbaik alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) dilaksanakan bagi memanfaatkan komuniti tempatan, rakan perniagaan, pelabur dan warga kerja syarikat,“ katanya ketika program Waves Of Joy berkenaan hari ini.
Pada progam itu, kesemua anak yatim berusia tiga hingga enam tahun diraikan dengan pelbagai aktiviti menarik di taman tema itu seperti aktiviti air dan jelajah Wildlife Park yang turut melibatkan seramai 16 sukarelawan terdiri daripada petugas PHB.
Program turut diserikan dengan pemberian kelengkapan persekolahan seperti buku mewarna, peralatan menulis, pensel warna dan sebagainya.
PHB yang ditubuhkan pada 8 Mei 2006 merupakan sebuah syarikat pelaburan hartanah yang telah diberi mandat oleh kerajaan untuk meningkatkan penglibatan bumiputera dalam pemilikan aset hartanah komersial utama di Malaysia.-Bernama

