Piala ASEAN B-23: Malaysia Tersingkir Awal Selepas Seri 0-0 Dengan Indonesia

LocalFootball
22 Jul 2025 • 8:37 AM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

image is not available

image is not available

JAKARTA, 22 Julai 2025 – Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Malaysia gagal melangkah ke separuh akhir Piala ASEAN B-23 selepas hanya mampu seri 0-0 menentang Indonesia dalam perlawanan terakhir Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, malam tadi.

Keputusan itu meletakkan Malaysia di tangga ketiga dengan empat mata, di belakang Indonesia yang menjuarai kumpulan dengan tujuh mata dan Filipina dengan enam mata, manakala Brunei berada di kedudukan terakhir tanpa sebarang mata. Malaysia memulakan kempen dengan kekalahan 0-2 kepada Filipina, sebelum bangkit menewaskan Brunei 7-1, namun gagal mengatasi Indonesia yang hanya memerlukan seri untuk layak.

Anak buah Nafuzi Zain turun dengan misi menang besar tanpa bolos, tetapi peluang yang ada tidak dapat dimanfaatkan walaupun pasukan menunjukkan aksi pertahanan dan penguasaan bola yang tersusun. Sebaliknya, Indonesia lebih banyak menguasai permainan dengan beberapa serangan berbahaya, namun barisan pertahanan Malaysia dan penjaga gol Zulhilmi Sharani berjaya mengekalkan gawang tanpa bolos.

Pada minit ke-57, penyerang Indonesia Jens Raven hampir memecah kebuntuan dengan sepakan tumit, tetapi diselamatkan oleh Zulhilmi. Seminit kemudian, Malaysia nyaris menjaringkan gol melalui rembatan Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon, namun ditepis penjaga gol lawan.

Nafuzi meluahkan kekecewaan atas kegagalan pasukan melangkah ke separuh akhir, tetapi memuji semangat juang pemain, terutamanya barisan pertahanan dan aksi cemerlang Zulhilmi. “Saya bangga dengan peningkatan prestasi pasukan sepanjang kejohanan ini,” katanya.

Malaysia kini akan menumpukan perhatian kepada pusingan kelayakan Piala Asia B-23 yang akan berlangsung selepas ini.

Bernama.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved