
KUALA LUMPUR – Harimau Malaya terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan dengan Indonesia pada aksi kedua Kumpulan A Piala ASEAN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), sebentar tadi.
Keputusan ini seakan kerugian besar buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe kerana skuad Garuda terpaksa bermain 10 orang dalam tempoh hampir satu jam.
Selain ketumpulan penyudah, pertahanan dan penjaga gol tuan rumah, Maarten Paes turut cemerlang untuk menyekat beberapa peluang merbahaya yang dicipta Harimau Malaya khususnya dalam tempoh 10 minit terakhir permainan.
Indonesia memulakan perlawanan secara agresif dengan memberikan tekanan awal hingga menyaksikan gawang negara bocor seawal minit keempat sebelum pengadil perlawanan, Hyung-Jin Ko buat keputusan membatalkan jaringan berkenaan kerana terlebih dulu mengesan kekasaran dilakukan pemain tuan rumah.
Selepas 10 minit aksi berlangsung, pemain negara mula menyerlahkan keyakinan, khususnya menerusi kelincahan bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi yang sering kali berjaya mencetuskan situasi cemas buat benteng Indonesia.
Peluang terbaik hadir pada minit ke-16 namun Bergson dan Silva sedikit lewat untuk menyambut umpanan menarik Faisal Halim.
Memasuki minit ke-37, penilaian semula Video Bantuan Pengadil (VAR) menyaksikan pengadil merubah keputusan kad kuning sebaliknya melayangkan kad merah kepada Thom Haye kerana melakukan terjahan keras terhadap Arif Aiman.
Menyedari kekurangan seorang pemain, Indonesia dilihat lebih banyak bertahan hingga memberikan kesukaran buat penyerang negara mencipta peluang terbaik.
Kemasukan Paulo Josue yang menggantikan Faisal berjaya menambah kualiti di jentera serangan negara, khususnya menerusi peluang terbaik pada minit ke-64 namun tandukan bintang KL City itu sedikit melewati palang gol lawan.
Kurang seminit selepas dimasukkan, Fergus Tierney dihidangkan peluang terbaik namun percubaannya pada minit ke-74 turut melepasi palang gol tuan rumah.
Seterusnya, aksi dilihat agak berat sebelah namun deretan peluang yang dicipta Harimau Malaya gagal membuahkan hasil. – KOSMO! ONLINE
The post Piala ASEAN FIFA: Dominasi Harimau Malaya gagal hasilkan tiga mata appeared first on Kosmo Online.

