
Kota Kinabalu: Seramai 45 pemain bersaing untuk merebut 30 tempat terakhir dalam skuad Piala Belia Sabah FC bagi musim 2025 akan datang.
Jumlah itu telah disenarai pendek daripada 400 peserta awal yang telah menghadiri sesi terbuka fasa pertama kendalian panel pemilihan diketuai Jelius Ating di Stadium Likas dari 13-15 Mac.
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) Datuk Fairuz Renddan diiringi setiausaha agung Safa Shamsuddin Mohd Shah dan setiausaha eksekutif David Wisom turut hadir memberi semangat kepada pemain.
Percubaan fasa terakhir untuk pemain bawah 18 tahun bermula di padang sintetik Likas pada Khamis (20 Mac) dan akan berakhir pada 28 Mac.
Musim baharu Piala Belia dijadualkan bermula pada 26 April dan latihan pramusim untuk pasukan itu akan bermula pada awal April.
Sementara itu, belum ada pengumuman rasmi mengenai barisan kejurulatihan untuk pasukan musim depan.
Bagaimanapun, berkemungkinan Jelius Ating yang merupakan ketua jurulatih skuad Piala Presiden musim lalu akan dilantik oleh pihak pengurusan untuk mengambil alih tampuk kepimpinan dengan Burhan Ajui sebagai pembantunya.
Untuk rekod, skuad bawah 18 tahun Sabah beraksi hambar musim lalu dalam kumpulan A dan menduduki tempat tercorot di tangga ke-9. Mereka sekadar mengumpul 10 mata daripada dua kemenangan, empat seri dan tewas 10 perlawanan lain sepanjang kempen mereka.


