
Kurang 100 hari menjelang sepak mula Piala Dunia FIFA 2026, persoalan paling hangat dalam kalangan peminat bola sepak tanah air bukan lagi siapa calon juara, sebaliknya, di mana mereka boleh menonton siaran langsung kejohanan berprestij itu?
Setakat ini, masih tiada mana-mana stesen televisyen di Malaysia mengumumkan secara rasmi bahawa mereka memiliki hak penyiaran untuk menyiarkan kejohanan empat tahun sekali itu.
Ketiadaan pengumuman tersebut mula menimbulkan tanda tanya besar dalam kalangan peminat setia sukan nombor satu dunia itu.
Lebih mengundang resah, negara jiran iaitu Indonesia dan Singapura sudah pun melangkah setapak ke hadapan apabila masing-masing sudah mengumumkan penyiar rasmi bagi aksi Piala Dunia FIFA 2026 sekali gus memberi kepastian kepada jutaan peminat bola sepak di negara berkenaan.
Sebaliknya di Malaysia, suasananya masih samar dan ketiadaan pengumuman rasmi mencetuskan persoalan besar adakah ini sekadar soal masa sebelum satu pengumuman besar dibuat, atau Malaysia sebenarnya berdepan kemungkinan yang tidak pernah berlaku sebelum ini iaitu tiada siaran langsung Piala Dunia sejak disiarkan pada 1982.
Kebimbangan itu bukan tanpa asas kerana dalam sejarah penyiaran negara, rakyat Malaysia hampir tidak pernah terlepas menikmati aksi Piala Dunia secara langsung, walaupun liputannya mungkin terhad kepada perlawanan tertentu sahaja.
Untuk edisi 2026, kejohanan akan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai, buat julung kalinya dianjurkan bersama oleh tiga negara iaitu Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.
Ia juga menjadi edisi pertama yang menampilkan 48 pasukan, membabitkan 104 perlawanan yang berlangsung di 16 bandar.
Dengan skala penganjuran yang jauh lebih besar berbanding edisi terdahulu, kos hak penyiaran tentunya meningkat; maka di sinilah timbul persoalan sama ada faktor kewangan menjadi penghalang kepada mana-mana stesen tempatan untuk tampil sebagai penyiar rasmi.
Jika benar tiada siaran langsung diumumkan, adakah ia bakal menjadi kali pertama Malaysia ‘gelap’ daripada tayangan langsung Piala Dunia?
Mengimbas sejarah, detik paling menyentuh hati dalam penyiaran Piala Dunia di Malaysia berlaku pada tahun 1982 ketika kejohanan berlangsung di Sepanyol.
Ketika itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) berdepan kekangan kewangan untuk membeli hak siaran penuh, malah, pada awalnya RTM hanya merancang untuk menyiarkan empat perlawanan secara langsung melibatkan perlawanan pembukaan, dua separuh akhir dan final manakala aksi lain sekadar dilaporkan keputusannya menerusi berita dan radio.
Kos satu siaran langsung pada waktu itu mencecah sekitar RM60,000, jumlah yang besar pada era tersebut namun semangat rakyat Malaysia mengatasi segala kekangan.
Semuanya bermula apabila seorang ejen insurans, Peter Teo, menghubungi pihak media dan mencadangkan agar setiap rakyat Malaysia menyumbang RM1 bagi membolehkan lebih banyak perlawanan disiarkan secara langsung.
Solusi yang diumumkan adalah cadangan untuk menghasilkan sebuah tabung khas dimana Rakyat Malaysia boleh menderma bagi menjayakan misi menonton Piala Dunia 1982. Dengan persetujuan RTM sebuah tabung telah dilancarkan yang dinamakan sebagai People’s Live Telecast Fund (PLTF).
Sambutan yang diterima luar biasa, dalam tempoh beberapa hari sahaja, kutipan mencecah puluhan ribu ringgit sebelum akhirnya berjaya mengumpul kira-kira RM300,000, cukup untuk menampung kos empat lagi siaran langsung tambahan.
Hasilnya, beberapa perlawanan penting termasuk aksi England menentang Jerman Barat serta Itali bertemu Brazil dapat disaksikan secara langsung, selain siaran rasmi RTM. Di kaca televisyen tertera ayat yang cukup membanggakan: 'Ditaja Oleh Rakyat Malaysia'.
Itulah kali pertama rakyat negara ini benar-benar ‘membeli’ Piala Dunia dengan wang poket sendiri demi memastikan mereka tidak terlepas detik bersejarah bola sepak dunia.
Begitupun, tentu sekali landskap kos hari ini tidak lagi boleh dibandingkan dengan tahun 1982 yang menyaksikan satu siaran langsung dianggarkan sekitar RM60,000.
Dengan edisi terbaharu Piala Dunia FIFA 2026 membabitkan 48 pasukan dan lebih 100 perlawanan, nilai hak penyiarannya pasti melonjak berkali ganda, seiring skala dan komersialisme bola sepak moden.
Namun begitu, dalam dunia penyiaran yang kini dipacu teknologi digital, penstriman dan persaingan pelbagai platform, isu sebenar bukan sekadar soal mahal atau murah.
Yang lebih utama ialah kesediaan bagi memastikan jutaan peminat bola sepak tanah air tidak terpinggir daripada menyaksikan secara sah detik-detik bersejarah kejohanan terbesar dunia itu.
Sekiranya tiada penyiar tampil, ke manakah arah peminat bola sepak tanah air. Adakah mereka terpaksa bergantung kepada siaran luar negara, platform penstriman berbayar antarabangsa atau lebih membimbangkan, laman tidak sah.
Piala Dunia bukan sekadar kejohanan bola sepak. Ia adalah pesta global yang menyatukan keluarga di ruang tamu, rakan-rakan di kedai mamak dan komuniti di seluruh negara.
Dalam era teknologi canggih dan ekonomi digital, agak sukar dibayangkan Malaysia tidak mempunyai siaran langsung untuk kejohanan terbesar dunia namun sehingga pengumuman rasmi dibuat, tanda tanya itu terus berlegar.
Sejarah 1982 membuktikan bahawa apabila melibatkan Piala Dunia, rakyat Malaysia sanggup bersatu hati.
Persoalannya kini, adakah kita sekali lagi rakyat perlu menubuhkan tabung atau akan ada pihak yang tampil memastikan peminat tidak terus tertanya-tanya? - Getaran, 28 Februari 2026
