PIBG MCKK, ahli keluarga bakal saman 3 pemilik akaun media sosial kerana tabur fitnah

8 Nov 2023 • 8:12 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan beberapa ahli keluarga pelajar bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga pemilik akaun media sosial yang didakwa memuat naik kenyataan berunsur fitnah dan fakta tidak tepat.

Peguam mewakili PIBG dan ahli keluarga, Hasshahari Johari Mawi berkata, insiden yang ditularkan minggu lalu menjadi tidak terkawal. Menyebabkan pihak PIBG tampil membuat laporan polis, hari ini.

Menurutnya, laporan polis itu dibuat susulan reaksi, ugutan dan ancaman yang diterima pelajar, ibu bapa dan guru MCKK. Yang mana dengan laporan polis berkenaan diharapkan orang ramai berhenti mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

“Tindakan selanjutnya, saya diarahkan anak guam untuk meneruskan tindakan undang-undang ke atas individu pengguna media sosial yang sudah dikenal pasti kerana memuat naik hantaran berunsur fitnah dan tidak benar.

“Kita juga menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Tiada kompromi

Sementara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan tidak akan berkompromi dengan pelajar yang terbabit dengan kes buli di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di Perak September lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, sehubungan itu pihaknya meminta waris pelajar yang menjadi mangsa buli berkenaan bersabar kerana siasatan sedang dijalankan.

“Kita faham perasaan ibu bapa mangsa dan berharap mereka dapat bersabar sementara siasatan dijalankan. Kita juga bersikap terbuka jika keluarga mangsa mahu berjumpa dengan KPM bagi berbincang.

“KPM tidak akan berkompromi dengan dengan kes ini dan semua murid adalah sama, tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Sumber: Harian Metro