
Kota Kinabalu: Kepetahan berbahasa Rungus ditambah dengan gaya persembahan dan pakaian tradisi lengkap membolehkan Briana Ann Marunsai menjuarai Pertandingan Pidato Bahasa Ibunda di antara Sekolah-Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAAN) yang diadakan bulan lalu.
Gaya penyampaiannya yang mantap, mahir berbahasa ibunda dengan fasih mengalahkan pembentangan 12 pemidato lain daripada pelbagai sekolah adat seluruh negeri, menjadikannya pemenang pertama dalam pertandingan bersejarah ini.
Kemenangan remaja berusia 17 tahun yang berbakat ini membuka tirai sejarah SAAN kerana ini adalah julung kali acara berpidato ini diadakan penganjur dalam usaha sekolah adat Sabah memperkasakan bahasa ibunda orang asal supaya tidak pupus.
Briana yang mewakili SAAN daripada Matunggong mempertaruhkan bahasa Rungus mengalahkan pemidato daripada 13 kumpulan yang mewakili 13 sekolah adat seluruh Sabah.
SPONSORED CONTENT Sabah blackouts a thing of the past with electricity power handover Kota Kinabalu: Blackouts or power outages, a regular feature in the Land below the Wind, could be a thing of the past with the federal government’s phased handover of regulatory power on Sabah’s electricity supply to the state government. Read more Antara bahasa ibunda yang digunakan dalam pidato ini ialah selain daripada bahasa Rungus ialah Tidung, Tompizos, Tagahas, Tobilung, Murut Nabai, Bookan, Murut Paluan, Lotud, Kimaragang, Sandayo, Kadazan dan Bunduliwan.
Dalam kriteria pengadilan, peserta pertandingan turut diadili dari aspek intonasi, penghayatan dan sebutan yang jelas oleh para juri bertauliah yang pakar dalam bahasa ibunda.
Tempat kedua dimenangi Noorhidayah Skhela Timis dari etnik Tobilung mewakili Kota Marudu. Tangga ketiga dan keempat diambil Agnes Bacon (Kovosoi Nabawan Etnik Paluan) dan Jolneh@Juliana Sumbing (Ulu Tuaran - Etnik Tagahas).
Pertandingan ini dianjurkan dengan Kolaborasi Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS UMS) dan Persatuan Pengamal Adat Sabah (Sunduan Nabalu) sempena sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2024.
Pertandingan berpidato ini adalah yang pertama diadakan di Malaysia dengan matlamat memelihara dan menggalakkan warisan linguistik yang kaya daripada pelbagai komuniti Orang Asal Sabah.
Pertandingan bersejarah ini dirasmikan oleh Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) Tindarama Dr Benedict Topin.
Tema pertandingan tahun ini ialah ‘Bahasa Ibunda: Tiang Seri Adat Budaya’.
Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa yang diisytiharkan oleh UNESCO ini disambut secara global pada 21 Februari setiap tahun.
Sambutan tahun ini mendapat makna tambahan sebagai sebahagian daripada Dekad Antarabangsa Bahasa Orang Asal Unesco (2022-2032) di mana ia menekankan keperluan mendesak untuk memelihara khazanah linguistik ini.
Timbalan Pengarah BorIIS UMS Dr Jeannet Stephen berkata, pertandingan pidato dalam pelbagai bahasa ibunda masyarakat Orang Asal di negeri Sabah ini selari dengan tema sambutan Unesco.
Beliau yang juga pengerusi bersama majlis menegaskan bahawa Hari Bahasa Ibunda Antarabangsan tahun ini iaitu Pendidikan Berbilang Bahasa adalah Tonggak Pembelajaran antara Generasi.
“Pertandingan pidato dalam pelbagai bahasa ibunda masyarakat Orang Asal Sabah adalah antara cara kita untuk memperkasakan kelestarian bahasa orang asal di sini.
“Pihak penganjur amat berbangga kerana pertandingan ini memperlihatkan kepelbagaian bahasa ibunda yang ada di negeri Sabah. Para peserta pun merangkumi generasi tua dan muda.
“Malah kami berbangga apabila johan pertandingan pertama kali ini merupakan seorang remaja,” kata Dr Jeannet.
Kolaborasi antara Sunduan Nabalu dan BorIIS UMS ini adalah bahan dokumentasi untuk mendaftarkan Sekolah Adat Anak Negeri Sabah dalam Senarai Amalan Baik Perlindungan Unesco.
Ia merupakan program yang amat baik di mana negara seperti Filipina dan Perancis mendapat pencapaian yang mampu mengukuhkan program linguistik masing-masing.
Presiden Sunduan Nabalu Shalmon Sanangan berkata, projek ini adalah sebahagian daripada inisiatif #roadtoUNESCO yang dilancarkan tahun lalu bertujuan untuk menonjolkan pentingnya bahasa Orang Asal dalam pendidikan.
“Mesyuarat pengetua sekolah adat yang diadakan pasca-acara membincangkan perancangan untuk bengkel dokumentasi khusus bagi proses penyediaan bahan yang diperlukan oleh Daftar Unesco berkenaan,” tambahnya dalam satu kenyataan kepada Harian Ekspres.
Dalam ucapan Shalmon berterima kasih kepada semua peserta dan penyokong atas komitmen mereka dan berharap lebih banyak bahasa masyarakat Orang Asal Sabah dapat dipertandingkan pada masa akan datang.
“Acara hari ini bukan sekadar pertandingan. Ia adalah perayaan kepelbagaian bahasa kita dan langkah ke arah memastikan warisan budaya kita terus berkembang untuk generasi akan datang,” katanya.
Sehubungan itu, SAAN merancang untuk menjadikan Pertandingan Pidato Bahasa Ibunda sebagai acara tahunan dengan matlamat memupuk kemahiran berbahasa ibunda di kalangan generasi muda orang asal.
Menurutnya, pertandingan pidato antara etnik ini yang pertama di Malaysia di antara sekolah-sekolah adat peringkat negeri. Peserta menggunakan teks ucapan yang disediakan bahasa penghantar.
Sabah mempunyai lebih daripada 30 kumpulan etnik dengan lebih 60 dialek. Ini bermaksud banyak dialek yang boleh dipertandingkan pada masa hadapan. Penganjur mewujudkan satu piala pusingan tahunan bagi memberi penghargaan kepada sekolah adat yang menang.
Piala Pusingan ini bermutu tinggi diperbuat daripada gabungan keluli dan aloi logam hasil sumbangan Tindarama Datuk Steven Beliku.
Menurut Shalmon, pertandingan ini nanti akan menjadi platform bagi pencinta bahasa untuk mengasah dan memperkaya penguasaan bahasa etnik masing-masing.
“Dengan adanya aktiviti pidato tahunan, maka ini akan memberi kesedaran dan harapan baru terutamanya kepada anak-anak muda untuk mereka terus berkarya meningkatkan seni bahasa.
“Inisiatif ini adalah jalan kita ke arah mendaftarkan Sekolah Adat ke peringkat lebih tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Antara negara yang sudah berbuat demikian ialah New Zealand dan Filipina,” jelasnya.
Perhimpunan Agung PBB mengistytiharkan tempoh antara tahun 2022 dan 2032 sebagai Dekad Bahasa-Bahasa Asal Antarabangsa (IDIL 2022-20232) dan bekerjasama dengan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) untuk melaksanakannya.
Lebih 200 hadir di majlis ini termasuk pemimpin komuniti, pendidik, pelajar dan peminat bahasa untuk menyaksikan perayaan bahasa Orang Asal Sabah yang unik ini.
Turut hadir Pengarah BorIIS Prof Madya Dr Normah Latif, Tindarama Datuk Steven Beliku daripada Pertubuhan Bobolian Negeri Sabah dan wakil-wakil daripada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
