GEORGE TOWN – Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan terhadap kes seorang wanita yang diserang di tempat awam walaupun laporan polis serta bukti kecederaan telah dikemukakan.
Penasihat Guaman DAP, RSN Rayer berkata, mangsa, Fam Yean Nie, 40, telah membuat laporan polis selain menjalani pemeriksaan perubatan yang mengesahkan kecederaan 'soft tissue injury' pada tangan kanan namun tiada sebarang patah tulang.
Menurutnya, kes berlaku pada 4 Mac di hadapan sebuah kedai di Jalan Tun Sardon, Balik Pulau dan insiden tersebut mempunyai rakaman video.
“Laporan perubatan menunjukkan mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada tangan kanan selain terdapat kesan lebam yang jelas pada bahagian tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma DAP di sini pada Isnin.
Rayer juga menuntut penjelasan daripada pihak berkuasa berikutan kes tersebut dirujuk kepada majistret tanpa sebarang tindakan lanjut.
“Kenapa tiada pertuduhan dibuat? Saya mendapat maklum balas daripada pihak polis berhubung surat penjelasan mengenai status siasatan kes bertarikh 18 Mac dan diberitahu bahawa kes diklasifikasikan sebagai 'Refer To Magistrate' (RTM).
"Bagaimanapun sehingga kini tiada pendakwaan dibuat di mahkamah. Sekurang-kurangnya kes ini boleh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, lebih-lebih lagi apabila insiden ini berlaku di tempat awam dan mempunyai rakaman video,” katanya.
Tambah beliau, rakaman video menunjukkan mangsa tidak melakukan sebarang provokasi sebaliknya hanya merakam kejadian sebelum diserang oleh seorang lelaki.
“Kalau kejadian seperti ini berlaku secara terbuka dan tiada tindakan diambil, apa mesej yang kita hantar kepada masyarakat?
"Adakah pelaku boleh terlepas begitu sahaja dan bagaimana kita mahu melindungi wanita?” soalnya.
Sehubungan itu, Rayer memaklumkan akan mengemukakan surat kepada Ketua Unit Pendakwaan serta Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung keputusan tersebut.
“Kami akan teruskan tindakan susulan dan menuntut penjelasan mengapa kes ini tidak dibawa ke mahkamah.
"Saya mengendalikan kes ini secara pro bono tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada mangsa seperti kes-kes lain yang memerlukan bantuan guaman," katanya.
Beliau turut menegaskan pihak berkuasa perlu bertindak tegas dalam kes keganasan terhadap wanita khususnya apabila berlaku di tempat awam dan disokong bukti rakaman.


