Pihak berkuasa diminta selesaikan isu bau busuk di Bukit Serdang dan Puncak Jalil

30 Nov 2022 • 6:34 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SHAH ALAM: Pihak berkuasa diharap dapat menyelesaikan isu bau busuk yang terhasil dari tapak pembuangan sampah haram yang terletak di Sungai Kuyoh, Seri Kembangan berdekatan dengan Lebuhraya Maju (MEX).

Ean Yong Hian Wah (PH-Seri Kembangan) berkata tapak pembuangan sampah haram itu menyebabkan penduduk di sekitar Bukit Serdang dan Puncak Jalil menghadapi masalah pencemaran bau busuk yang serius, sejak beberapa bulan lepas.

“Hasil daripada siasatan mendapati punca bau busuk adalah datang daripada air ‘leachate’ (sisa air larut resap) yang dihasilkan daripada tapak pembuangan sampah haram berkenaan,“ katanya ketika membahas usul Belanjawan Selangor 2023, dalam persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.

Yong berkata aktiviti pembuangan sampah haram secara skala besar itu dilakukan melibatkan sekurang-kurangnya sembilan keping tanah dan dimaklumkan bahawa tanah tersebut adalah tanah milik persendirian.

“Memandangkan isu ini bertambah serius, saya berharap pihak Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat menyelesaikan isu ini dengan secepat mungkin,“ katanya.

Selain itu bagi menangani masalah pembuangan sampah haram secara umum, beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri bekerjasama dengan Worldwide Holdings Bhd atau pihak swasta untuk mewujudkan stesen pemindahan di setiap PBT, bagi memudahkan kontraktor tong sampah roro melupuskan sampah mereka.

“Harga pelupusan sampah di stesen pemindahan ini juga perlu berpatutan untuk menggalakkan kontraktor tong sampah roro untuk melupuskan sampah di sana selain kerajaan negeri juga boleh menubuhkan pasukan ronda di setiap PBT khasnya untuk membanteras aktiviti pembuangan sampah haram,“ katanya.-Bernama

View Original Article