
Kota Kinabalu: Pihak yang berwajib digesa agar segera mengambil langkah menangani serangan haiwan liar seperti gajah dan buaya ke atas manusia yang kian meningkat di daerah ini.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat Segama, Mizma Appehdullah berkata, isu berkaitan serangan yang menyebabkan kematian dan kecederaan ini tidak boleh dipandang ringan dan perlu diatasi.
Mizma berkata, langkah-langkah proaktif perlu diambil bagi mencari penyelesaian yang sebaiknya dan seboleh-bolehnya tidak mengancam nyawa manusia dan juga haiwan liar.
“Kejadian serangan buaya atau pencerobohan gajah di daerah ini bukanlah sesuatu yang baru, namun sehingga kini belum ada penyelesaian dan menyebabkan perkara ini terus berlaku.
“Oleh itu, kita berharap agar pihak-pihak yang berkaitan mengambil langkah sewajarnya agar ia tidak berulang dan mengancam nyawa manusia,” katanya.
Mizma menyuarakan perkara ini berikutan satu lagi serangan terbaru melibatkan buaya di kawasan perairan bandar Lahad Datu yang telah menyebabkan seorang bapa cedera parah dan anak lelakinya berusia setahun masih lagi belum ditemui.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan dengan kehadiran gajah yang sering memusnahkan kawasan kebun dan rumah-rumah penduduk di daerah itu.
Kehadiran gajah di jalan-jalan besar yang sering di lalui oleh pengguna jalan raya turut membimbangkan kerana ia boleh menyebabkan kemalangan seperti yang berlaku pada Sabtu lalu di Kilometer 13 Jalan Lahad Datu-Sandakan sehingga menyebabkan kematian anak gajah berkenaan.
Menzahirkan kesedihan atas insiden-insiden berkenaan, Mizma berharap supaya ianya tidak berulang agar masyarakat di daerah ini boleh menjalani rutin harian tanpa kegusaran mengenai serangan haiwan liar.
Dalam pada itu, Mizma turut mengingatkan masyarakat, khususnya mereka yang tinggal berdekatan sungai atau laut agar sentiasa berwaspada agar tidak menjadi mangsa serangan buaya.
Tambahnya, masyarakat yang menjadi mangsa serangan gajah juga disarankan agar tidak mengambil tindakan sendiri dan menghubungi pihak berwajib sekiranya terdapat pencerobohan gajah di kawasan mereka bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
