Pihak cetus kekecohan di PAT Bersatu dipanggil, sudah mohon maaf

LocalPolitics
7 Sep 2025 • 3:59 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Sekumpulan individu yang dikatakan mencetus kekecohan ketika perasmian Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti Bersatu malam tadi, sudah membuat permohonan maaf, kata Ketua Penerangan Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid.

Beliau berkata, Pengerusi Tetap parti memaklumkan individu yang terbabit sudah dipanggil selepas kekecohan itu.

"Pengerusi Tetap maklumkan malam tadi mereka dipanggil dan menyatakan permohonan maaf, kesal dan mengakui perkara itu tak patut berlaku," katanya lapor BH.

Harris yang juga Ketua Bersatu Bahagian Balik Pulau, berkata laporan polis dibuat bagi menggesa siasatan terhadap pihak yang cuba mencetuskan insiden kekecohan berkenaan.

Katanya, laporan dibuat Ketua Komander Briged Armada Bersatu, Afiq Nardin, di Balai Polis Seri Muda, Shah Alam, kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Menurut Harris, laporan turut dibuat kepada Lembaga Disiplin parti bagi membolehkan tindakan diambil terhadap perwakilan dan individu yang mencetuskan kekecohan.

"Dalam laporan disiplin itu, kami menyenaraikan perkara yang kami tidak berpuas hati kerana ia (kekecohan itu) memalukan dan berlaku di khalayak, di hadapan jemputan dan pengamal media yang membuat liputan.

"Ketua Keselamatan Armada sudah membuat laporan polis di Balai Polis Seri Muda. Saya difahamkan kertas siasatan sudah dibuka," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam laporan media semalam, PAT Bersatu 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, kecoh apabila berlaku insiden pergelutan dan tolak-menolak ketika Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sedang menyampaikan ucapan dasar.

Kekecohan itu mengakibatkan sesi utama malam tadi bukan saja terganggu malah tertangguh seketika. - 7 September, 2025