
KUALA LUMPUR: Bakal mengadakan konsert pada 16 Oktober ini, vokalis kumpulan, Nastia, Leo Azman berharap agar dua anggota ahli lain, Jenk dan Zach Zainal dapat berada sepentas pada malam bermakna itu.
Menurut Leo, buat masa kini Nastia Project bergerak secara berdua bersama pemain gitarnya, Rudy Iskandar susulan berlakunya keretakan dalaman antara mereka.
“Dalam hubungan adik-beradik pun kadang-kadang mesti ada ketidakfahaman. Bagi saya, perkara itu biasa sahaja. Sebenarnya, tiada apa-apa pergaduhan yang berlaku.
“Cuma masing-masing mengambil keputusan membawa haluan sendiri buat sementara waktu sejak selepas Raya tahun ini. Untuk masa akan datang, kita tidak tahu bagaimana.
“Maksud saya, untuk konsert ini pun kalau boleh, saya berharap mereka dapat sertai kami kerana ini konsert besar selepas kali terakhir pada 2015,” katanya ketika ditemui di sidang media konsert Nastia Project: Soul Journey, hari ini.
Ditanya punca keretakan yang berlaku, Rudy memaklumkan konflik berlaku kerana campur tangan orang ketiga, namun enggan mengulasnya secara terperinci.
“Perkara ini berpunca daripada pihak ketiga yang menyebabkan Jenk dan Zach menjadi tawar hati untuk bersama kami. Perkara itu juga berlaku baru lagi sekitar awal tahun ini.
“Ikatan kami sangat kuat. Ikatan sebagai sebuah band itu memang kuat. Anggota yang keluar masuk Nastia dahulu, itu cerita lain. Tetapi dua orang ini, Jeng dan Zack, mereka sebenarnya adalah ‘tulang’ Nastia.
“Cuma mereka tidak sehaluan dalam perkara ini. Kami menghormati keputusan itu dan tetap berdoa supaya ada jalan dan ruang untuk Nastia kembali bersama,” jelas Rudy.
Bagaimanapun, kedua-dua ahli kumpulan terkini Nastia Project itu berharap Jenk dan Zach terbuka hati untuk beraksi sepentas dengan mereka nanti memandangkan mereka masih dalam proses memujuk.
“Sejujurnya memang agak sukar. Terutama saya yang berada di Kuala Lumpur, manakala Leo pula di Pulau Pinang. Jadi, agak susah sedikit. Tetapi saya yang berada di Kuala Lumpur memang berusaha keras untuk memujuk mereka.
“Kami masih berhubung. Cuma untuk mendapatkan mereka kembali bersama Nastia bagi persembahan ini merupakan satu perkara yang sangat mencabar.
Kalau sekadar mahu main dram, sesiapa pun boleh bermain.
“Tetapi untuk mengisi tempat Jeng, kalau bukan Jeng sendiri, itu satu cerita lain. Dalam masa yang sama, kami tetap membuat persiapan sekiranya Jeng memang tidak dapat menyertai konsert itu nanti,” ujarnya.
Difahamkan, kali terakhir mereka beraksi sepentas secara berkumpulan pada sebuah konsert yang berlangsung pada Disember tahun lalu.
Konsert Nastia Project: Soul Journey yang turut menampilkan penyanyi Fynm Jamal dan Amir Jahari sebagai artis jemputan itu akan berlangsung pada 16 Oktober 2026 di Zepp Kuala Lumpur.
The post Pihak ketiga punca mereka membawa haluan sendiri – Nastia Project appeared first on Utusan Malaysia.
