Pilih Bulu, RapidKL ‘Dibelasah’ Benarkan VVIP Guna MRT Tanpa Pelitup Muka

LocalPolitics
30 May 2023 • 3:58 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tangkap layar yang menunjukkan Khairy (kiri) dan Ismail menaiki MRT tanpa menggunakan pelitup muka. - Gambar dari Twitter Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Syarikat pengangkutan awam, RapidKL hari ini ‘dibelasah’ orang awam khususnya netizen apabila didakwa ‘cakap tidak serupa bikin’.

Syarikat berkenaan didakwa bersikap pilih bulu apabila membenarkan individu kenamaan menaiki pengangkutan awam milik mereka, tanpa mematuhi arahan agar mengenakan pelitup separuh muka.

image is not available

Ia susulan penyebaran klip video memaparkan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang menaiki tren Transit Aliran Massa (MRT) tanpa menggunakan pelitup muka.

Ismail Sabri menerusi ciapan di Twitter memuat naik video tersebut sejurus selepas menikmati makan malam di Jalan Alor di sini dan menaiki tren ke Semantan untuk pulang ke rumahnya.

“Lepas lepak dan makan di Jalan Alor, saya balik ke rumah naik MRT, dengan Khairy Jamaluddin (KJ) dari Jalan Alor ke Semantan.

“Walaupun sudah jam 11 malam, masih ramai yang menggunakan MRT. Ia sudah menjadi pengangkutan utama,” katanya menerusi ciapan berkenaan.

Video terbabit menyaksikan Ismail Sabri dan Khairy sempat beramah mesra dan mengambil swafoto bersama penumpang.

Susulan ciapan, netizen bertindak ‘menyerang’ akaun Twitter RapidKL dan mempersoalkan sikap ‘pilih bulu’ syarikat terbabit.

“Kenapa @IsmailSabri60, @Khairykj and bodyguards hauk semua tak pakai face mask,” soal @amer_aljeffrey.

Isu sama turut dibangkitkan @amerhadiazmi yang dengan sinis berkata, Ismail Sabri dan Khairy dikecualikan daripada peraturan tersebut kerana RapidKL tidak berani menegur mereka.

“Kecuali mantan PM dan Menteri sebab kami tak berani nak sound,” katanya yang mengulang ciap poster dikeluarkan RapidKL itu.

Pendapat senada turut diluahkan @taufiqhelios yang mengulang ciap video dimuat naik Ismail Sabri.

“Tapi..double standard betul,” katanya.

RapidKL sebelum ini menerusi satu poster khas mengingatkan orang ramai agar menggunakan pelitup muka setiap kali menggunakan perkhidmatan awam.

Menurut poster berkenaan, pemakaian pelitup muka adalah mandatori dan pengguna dilarang menaiki pengangkutan awam jika tidak berbuat demikian. - Getaran, 30 Mei 2023