

Padah menanti kepada pemandu yang memandu secara berbahaya. Ini kerana kerajaan kini sedang memperincikan pindaan undang-undang ketat yang akan memerintahkan pesalah jalan raya membayar pampasan terus kepada mangsa atau waris keluarga yang terkesan.
Melalui pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), mahkamah akan diberikan kuasa penuh untuk menilai setiap kes berdasarkan merit termasuk tahap kecederaan, kematian, kerugian dialami, sehinggalah kepada kemampuan kewangan pesalah itu sendiri.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan bahawa langkah drastik ini adalah mesej jelas kerajaan kepada sang pelaku.
Buat masa ini, kementeriannya sedang dalam proses mencadangkan pindaan itu bagi memperkenalkan mekanisme pampasan kepada mangsa atau waris yang sah bagi kemalangan jalan raya yang menyebabkan kematian atau kecederaan serius.
"Ini menunjukkan komitmen kerajaan bahawa pemandu yang menyebabkan kematian akibat pemanduan berbahaya dan melulu tidak akan dilayan sebagai pesalah trafik biasa, sebaliknya akan dikenakan tindakan undang-undang yang paling berat mengikut kesesuaian kes," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.






