Pindaan Akta 588: Kerajaan beri jaminan tidak halang kebebasan bersuara, kekang jenayah siber

LocalPolitics
27 Nov 2024 • 9:00 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bukan bertujuan menghalang kebebasan bersuara sebaliknya untuk mengekang aktiviti jenayah siber dalam platform media sosial yang semakin berleluasa.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), ia merupakan jaminan kerajaan dalam aspek kebebasan bersuara tetapi pada masa sama memastikan ia tidak disalahguna untuk jenayah siber.

“Kerajaan sentiasa komited terhadap kebebasan bersuara tetapi memastikan ia tidak disalahgunakan untuk jenayah siber,’’ katanya di sini.

Selain itu, pindaan Akta 588 juga memberikan penekanan terhadap usaha kerajaan untuk melindungi pengguna terutama kanak-kanak dan warga emas daripada risiko kejahatan siber seperti penipuan, eksploitasi dan judi dalam talian.

“Pindaan ini bukan sekadar kawal selia tetapi adalah satu jaminan keselamatan kepada pengguna internet Malaysia, terutama melindungi data dan transaksi harian mereka daripada ancaman dalam talian termasuk penganiayaan seksual kanak-kanak,’’ katanya.

MCMC juga memberitahu, pindaan itu juga menekankan keperluan kepada penyedia perkhidmatan dalam talian untuk mengambil tanggungjawab bagi memastikan keselamatan pengguna di platform mereka menerusi pematuhan yang lebih ketat.

Ini bermakna, penyedia perkhidmatan mempunyai tanggungjawab lebih besar dalam mengawal selia kandungan yang disebarkan di platform mereka dan memberikan persekitaran digital yang lebih selamat kepada pengguna.

MCMC berkata, tiga komponen pindaan utama bagi Akta 588 ini ialah pembangunan industri, keselamatan rangkaian serta pengurusan media baharu.

Pembangunan industri

i. Memperkenalkan pelbagai remedi dan hukuman statutori (denda dan tempoh penjara).

ii. Menyelaraskan peruntukan persaingan dengan undang-undang terkini (Akta Persaingan 2010).

iii. Menyediakan penjelasan kuasa SKMM dalam pengeluaran instrumen undang-undang.

Keselamatan Rangkaian

Menambah bab baru mengenai keselamatan rangkaian yang membolehkan MCMC mengeluarkan notis untuk mencegah, mengesan, dan mengurangkan risiko keselamatan yang mengancam kestabilan rangkaian.

Pengurusan Media Baharu

Menangani bahaya media sosial melalui:
i. Penjelasan ke atas aplikasi seksyen 211 bagi perkhidmatan aplikasi kandungan.

ii. Memperkenalkan kuasa penggantungan perkhidmatan oleh penyedia aplikasi kandungan.

iii. Penambahan elemen hukuman di bawah seksyen 233, khususnya untuk kesalahan melibatkan kanak-kanak.

Sementara itu, berdasarkan statistik Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai kes penipuan (scam) di Malaysia pada 2023, kerugian yang dianggarkan adalah sebanyak RM1.218 bilion dengan 34,497 kes dilaporkan dan 12,851 kes didakwa di mahkamah.

Bagi penipuan melibatkan telekomunikasi pula, sebanyak 10,348 kes dengan kerugian sebanyak RM352 juta direkodkan.

Manakala bagi kes jenayah dalam talian di Malaysia pada tahun 2023 mengikut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) - Awani, sebanyak 34,532 kes dilaporkan melibatkan peningkatan 35.5%.

Jenayah e-Dagang menyumbang 33.2% kes dan merupakan yang tertinggi, diikuti telekomunikasi (30%), pelaburan tidak wujud (15.6%), pinjaman tidak wujud (12.3%), e-Kewangan (6.1%) dan Love Scam (2.7%).

Bagi jenayah Love Scam, 78.2% mangsa adalah wanita dengan kumpulan umur tertinggi yang terlibat ialah dalam lingkungan 41- 50 tahun (24.3%).

Bagi jenayah seksual melibatkan kanak-kanak pula, statistik itu menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 26.5% kepada 1,567 kes dengan peningkatan tertinggi dalam pornografi kanak-kanak (139.3%) diikuti pengantunan kanak-kanak (100%), dan amang seksual secara bukan fizikal (97%).

Manakala statistik daripada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bagi jenayah penipuan di Malaysia sehingga Mei 2024 lalu merekodkan 37,002 panggilan daripada mangsa scam.

Sebanyak RM203.33 juta kerugian dilaporkan setakat Mei 2024 manakala jumlah keseluruhan panggilan sejak Oktober 2022 hingga Mei lalu ialah 95,094
panggilan.

Bagi kes penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, sebanyak 10,649 kertas siasatan dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan 74 kertas siasatan bagi kes pengubahan wang haram dan 637 akaun dibekukan, melibatkan jumlah RM72.38 juta.

Sementara 131 nombor telefon ditamatkan kerana terlibat dalam penipuan manakala 112 nombor talian yang mencurigakan telah disekat. - 27 November, 2024