
KUALA LUMPUR - Pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 akan dibentang di Dewan Rakyat tahun depan bagi membezakan antara pemberi maklumat dengan penjenayah atau perasuah yang sebelum ini berlindung di bawah akta itu.
Ini kerana, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlindungan itu tidak wajar diberikan secara membuta tuli sehingga menjadikan penjenayah atau perasuah diangkat sebagai ‘wira’ semata-mata kerana mereka membuat pendedahan selepas melakukan kesalahan serius.
Pindaan itu, kata beliau, juga penting bagi menutup sebarang kelompongan yang boleh disalahgunakan, khususnya oleh perasuah atau penjenayah tegar yang mendakwa bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.
"Pemberi maklumat perlu dibezakan dengan jelas daripada penyamun atau perasuah tegar yang cuba bersembunyi atas nama whistleblower (pemberi maklumat). Ini dua perkara yang mesti dibezakan dengan jelas," katanya, lapor Bernama.
Anwar berkata demikian pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara pagi ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Amir Md Ghazali mengenai langkah kerajaan dalam memperkukuh integriti dan ketelusan penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang penyalahgunaan kuasa dan ketirisan dalam agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Anwar berkata prinsip “tiada siapa kebal di sisi undang-undang” akan terus diterapkan tanpa kompromi, termasuk terhadap individu berpengaruh atau berkedudukan tinggi.
Sambil mengakui wujud budaya dalam kalangan sesetengah pihak cenderung membela individu yang mengaku terlibat dalam rasuah atas alasan kononnya memberi pendedahan, jelasnya, perlindungan terhadap pemberi maklumat kekal terjamin termasuk aspek keselamatan diri serta keluarga mereka.
“Melindungi pemberi maklumat ini bukan sahaja bermakna mereka tidak diambil tindakan, tetapi juga keselamatan mereka dan keluarga mereka dikawal supaya tidak dizalimi oleh penjenayah,” kata beliau.
Menurut Anwar, menteri yang dipertanggungjawabkan sedang meneliti perkara berkenaan dan kerajaan bersedia membentangkan pindaan akta itu pada awal tahun depan.
Tegasnya, ia bagi menetapkan definisi, kaedah dan mekanisme lebih jelas supaya perlindungan pemberi maklumat tidak terus disalahgunakan dan kekal berfungsi sebagai instrumen penting memperkukuh integriti negara. - 16 Disember, 2025
The post Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat tahun depan, bezakan pemberi maklumat dengan penyamun, perasuah: PM appeared first on Scoop.

