Pindah ternakan tanpa kebenaran, dua pemandu lori didenda 

24 Jul 2026 • 2:12 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pindah ternakan tanpa kebenaran, dua pemandu lori didenda 

GERIK – Dua pemandu lori masing-masing didenda RM6,500 dan RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memindahkan haiwan ternakan tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pada Februari dan Jun lalu.

Orang Kena Saman (OKS), Muhammad Fauzan Razali, 28, dan Nik Abdul Rahman Nek Redzuan, 35, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Fauzan didakwa memindahkan 100 ekor kambing menggunakan lori tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah DVS Perak atau mana-mana pegawai diberi kuasa, di hadapan sebuah kedai makan di tepi Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, pada 2.10 pagi, 21 Februari 2026.

Dalam prosiding sama, Nik Abdul Rahman didakwa memindahkan 18 ekor lembu menggunakan lori di tepi Jalan Baling-Gerik, dalam daerah Hulu Perak pada pukul 4 pagi, 6 Jun 2026.

Kedua-dua OKS didakwa mengikut Perenggan 3(a) Perintah Menteri Besar bagi Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut Perak 2008, dibaca bersama Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan Seksyen 36(7) Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452) yang memperuntukkan denda maksimum RM15,000.

Mahkamah memerintahkan Muhammad Fauzan dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda, selain melucuthakkan wang hasil jualan ternakan berjumlah RM37,975 50 yang disimpan dalam akaun amanah jabatan kepada kerajaan.

Bagi Nik Abdul Rahman, mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda, dan melucuthakkan wang hasil jualan RM36,000 kepada kerajaan.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan barang kes iaitu lori yang digunakan dalam kejadian itu diserahkan kepada pemilik asal.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Perak, Roziman Awang Tahrin dan Dzul Fakar Mohammad Sabri, manakala kedua-dua OKS diwakili peguam bela, Muhammad Zaem Ab Aziz.

Kedua-dua OKS membayar denda berkenaan. – KOSMO! ONLINE

The post Pindah ternakan tanpa kebenaran, dua pemandu lori didenda  appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved