Pinjaman BNPL cecah RM3.8 bilion, majoriti peminjam B40 dan belia (VIDEO)

22 Jul 2025 • 4:34 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

image is not available

Oleh Raja Syazwani

SHAH ALAM, 22 JUL: Pinjaman menerusi kemudahan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) mencecah RM3.8 bilion setakat 30 Jun dengan majoriti peminjam terdiri daripada golongan belia dan B40, kata Timbalan Menteri Kewangan.

Menurut Lim Hui Ying, sekitar 40 peratus daripada jumlah itu disumbang dua kumpulan berkenaan yang secara keseluruhannya menunjukkan tahap disiplin kewangan baik dalam memenuhi komitmen pembayaran.

image is not available
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying. Foto BERNAMA

“Berdasarkan kajian oleh pasukan petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna membabitkan lebih 21,000 pengguna aktif BNPL, 88 peratus membayar ansuran tepat pada waktunya, manakala 12 peratus lewat tetapi tetap melunaskan hutang. Kurang satu peratus gagal membuat bayaran,” katanya ketika sesi Dewan Rakyat semalam.

Tambah beliau, kajian turut mendapati lebih 70 peratus pengguna aktif BNPL berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan, namun masih memiliki lebihan kewangan untuk simpanan atau perbelanjaan bulanan.

Meskipun data menunjukkan kebanyakan pengguna BNPL bertanggungjawab, kerajaan tetap mengambil pendekatan berhati-hati melalui penggubalan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) bagi mengawal selia sektor terbabit.

image is not availableRUUKP turut memperuntukkan penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) bagi memantau dan memastikan penyedia BNPL menjalankan penilaian kemampuan kewangan sebelum meluluskan sebarang pinjaman.

“Ketika ini kebanyakan pinjaman BNPL membabitkan jumlah kecil dan tidak melepasi ambang tindakan undang-undang bagi kes muflis, namun kerajaan akan terus memantau industri ini secara berterusan,” katanya.

@selangortv

Setakat 30 Jun 2025, jumlah keseluruhan pinjaman melalui BNPL mencecah RM3.8 bilion, yang merangkumi hanya 0.2 peratus daripada jumlah keseluruhan keberhutangan isi rumah negara. Daripada jumlah ini, sekitar 40 peratus disumbangkan oleh golongan belia. Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying turut mendedahkan bahawa lebih 70 peratus pengguna BNPL yang dikaji merupakan golongan berpendapatan rendah, iaitu bawah RM5,000 sebulan. Walaupun demikian, sebahagian besar daripada mereka memaklumkan masih mempunyai lebihan kewangan pada akhir bulan. #MediaSelangor

♬ original sound – SelangorTV – SelangorTV