
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 27 tahun didenda RM500 atau penjara seminggu oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis, kerana melakukan gangguan.
Alfred Libanson mengaku bersalah di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie atas pertuduhan melekatkan kad pinjaman wang tidak berlesen, di tempat letak kereta di hadapan 7 Eleven, Blok G Lintas Square Luyang, pada 10 pagi 11 Dis.
Alfred didakwa mengikut Seksyen 6(1A)(i) Ordinan Kesalahan Kecil yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000 dan penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai pendakwa Inspektor Suzie S.K. memaklumkan kepada mahkamah bahawa pada hari tersebut, polis menahan Alfred selepas memerhatinya dalam keadaan mencurigakan, menampal kad iklan pinjaman wang tidak berlesen pada cermin kereta.
Peguam dilantik Lim Ming Zoong @Lawrence yang mewakili Alfred, memohon hukuman ringan manakala Suzie memohon hukuman berbentuk pencegahan.
Dalam kes lain, seorang pengawal keselamatan didakwa menceroboh kawasan tanah.
Bernerd Gepet, 44, mengaku tidak bersalah kepada tuduhan kesalahan itu yang dilakukan pada 10.37 pagi, 28 Nov lepas, di Kampung Kibambangan, Inobong, Penampang.
Kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 26 Jan 2024 untuk pengurusan kes praperbicaraan dan melepaskan Bernerd dengan ikat jamin RM1,000 dengan dua penjamin tempatan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
