Pintas Utama serah zakat perniagaan RM3 juta

LocalBusiness & Finance
5 Mar 2026 • 5:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tengku Amir (kanan) berkenan menerima serahan zakat perniagaan berjumlah RM3 juta daripada Zainudin Karjan pada Majlis Berbuka Puasa Raja Muda Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1447H di Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya pada Rabu.

CYBERJAYA – Syarikat korporat, Pintas Utama Sdn Bhd menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM3 juta sebagai komitmen berterusan dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi umat Islam di Selangor.

Bayaran zakat tersebut berkenan diterima Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Berbuka Puasa Raja Muda Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1447H di Masjid Raja Haji Fisabilillah, di sini pada Rabu.

Penyerahan disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Pintas Utama Sdn Bhd, Tan Sri Ir Zainudin Karjan.

Menurut Zainudin, setiap kejayaan yang dikecapi syarikat bukan sekadar hasil usaha dan perancangan strategik, sebaliknya merupakan amanah yang perlu ditunaikan dengan penuh tanggungjawab.

“Sebagai umat Islam, kita harus percaya bahawa dalam setiap rezeki yang dikurniakan, terdapat hak mereka yang memerlukan.

“Justeru, pembayaran zakat ini bukan sahaja memenuhi tuntutan agama, malah merupakan tanggungjawab sosial korporat bagi membantu memperkukuh kesejahteraan masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan ummah secara menyeluruh,” katanya.

Zakat yang diserahkan itu akan disalurkan kepada golongan asnaf melalui institusi zakat Selangor, termasuk membantu meningkatkan taraf hidup mereka meliputi aspek kebajikan, pendidikan, kesihatan dan pembangunan ekonomi.

Pada majlis sama, Tengku Amir turut berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada golongan asnaf serta menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih secara berjemaah bersama rakyat.