johardy12/08/2026 - 11:35 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Ogos - Pioneer Heat Holdings Berhad membuka permohonan tawaran awam permulaan (IPO) pada harga 25 sen sesaham dan menyasarkan untuk meraih RM26.02 juta menerusi penyenaraiannya di Pasaran ACE.
Daripada jumlah itu, RM21.68 juta akan diperoleh syarikat manakala RM4.34 juta akan diterima tiga promoternya yang juga adik-beradik, Wong Hing Chong, Wong Hing Kok dan Wong Heng Chong.
“Pelancaran prospektus ini menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan korporat Pioneer Heat ketika kami semakin hampir ke arah penyenaraian di Pasaran ACE,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Pioneer Heat, Wong Wei Ken pada majlis pelancaran prospektus hari ini.
“Menerusi IPO ini, kami berhasrat memperkukuh kapasiti operasi, memperluas kehadiran serantau dan meningkatkan keupayaan perkhidmatan kami,” kata Wei Ken, yang juga anak kepada Hing Chong.
Permohonan IPO itu akan ditutup pada 3 September, manakala penyenaraian dijadualkan pada 17 September.
Pioneer Heat terlibat terutamanya dalam perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan projek kejuruteraan awam bagi pembinaan kemudahan perindustrian serta kemudahan sokongan.
Perluas operasi di Negeri Sembilan dan Sarawak
Perkhidmatan kejuruteraan mekanikalnya merangkumi kejuruteraan sistem perpaipan dan perkhidmatan khusus seperti rawatan haba, pengurusan bebibir serta ujian tanpa musnah, terutamanya untuk sektor minyak dan gas, petrokimia, utiliti dan pembuatan.
Daripada hasil IPO itu, RM4 juta diperuntukkan bagi membangunkan ibu pejabat baharu di Sendayan, Negeri Sembilan, manakala RM2.07 juta untuk membuka pejabat dan bengkel baharu di Sarawak.
Ibu pejabat di Sendayan itu akan menempatkan pejabat pentadbiran, bengkel dan gudang bagi menyokong kerja fabrikasi, perkhidmatan rawatan haba serta penyelenggaraan peralatan.
Kemudahan di Sarawak pula bertujuan meningkatkan kapasiti Pioneer Heat untuk melaksanakan projek berskala lebih besar di Malaysia Timur.
Syarikat itu turut memperuntukkan RM4.01 juta bagi pembelian mesin dan peralatan, manakala baki RM11.6 juta akan digunakan untuk modal kerja serta menampung perbelanjaan penyenaraian.
Berdasarkan harga IPO 25 sen sesaham, Pioneer Heat dijangka mempunyai permodalan pasaran RM86.73 juta apabila disenaraikan.
Tiga beradik Wong kekal pemegang saham utama
Gabungan pegangan tiga beradik Wong dalam Pioneer Heat akan berkurangan kepada 53.7% daripada kira-kira 78.2% sebelum penyenaraian.
Mereka akan kekal sebagai pemegang saham utama syarikat selepas penyenaraian.
Pegangan langsung Hing Chong dan Hing Kok masing-masing akan dicairkan kepada 20.1% daripada 29.4%, manakala pegangan Heng Chong akan berkurangan kepada 13.5% daripada 19.4%, berdasarkan modal saham diperbesarkan selepas penyenaraian.
Malacca Securities Sdn Bhd berperanan sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi cadangan penyenaraian itu. - DagangNews.com






