Pioneer Memperkenalkan Cakera Dan Perakam Blu-Ray Yang Boleh Menyimpan Data Selama Seratus Tahun

TechnologyDigital
13 Mar 2023 • 12:47 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Cakera Blu-Ray diperkenalkan sekitar awal 2000 dan dipopularkan oleh konsol Sony PlayStation 3 yang mana cakera ini hadir dengan kapasiti storan jauh lebih banyak berbanding dengan cakera DVD.

Bukan itu sahaja, tetapi cakera Blu-Ray ini juga dilihat boleh menyimpan data digital untuk satu jangka masa yang lama, hampir dua dekad tanpa menghadapi isu kehilangan data seperti bit rot. Kerajaan Jepun, melalui Electronic Books Preservation Act telah memperkenalkan mandat dimana data cukai negara tersebut haruslah disimpan secara digital selama sekurang-kurangnya seratus tahun.

image is not available

Terkini, Pioneer, salah sebuah syarikat pelopor pembuat storan cakera telah memperkenalkan gabungan cakera dan juga perakam Blu-Ray yang membolehkan data digital dirakam dan disimpan selama 100 tahun tanpa mengalami masalah degradasi data.

Perakam Blu-Ray Pioneer BDR-WX01DM hadir dengan piawaian rakaman data JIS X6257 yang ditetapkan oleh Japan Document Information Management Association (JIIMA) yang membolehkannya merakam data kepada cakera yang boleh bertahan selama satu abad ini. Semua perakam dan juga cakera yang boleh merakam menggunakan piawaian data ini juga akan hadir dengan label DM for Archive untuk pengesahan ketahanan 100 tahun ini.

image is not available

Perakam ini bukan sahaja boleh merakam data kepada cakera Blu-Ray, DVD dan juga CD, tetapi juga pada storan M-Disc yang mempunyai permukaan karbon berlapis untuk menyimpan data yang boleh bertahan selama 1000 tahun.

Bersama-sama perakam BDR-WX01DM ini ialah cakera Blu-Ray Pioneer IPS-BD11J03P DM dengan storan 25GB yang menjanjikan penyimpanan data selama seratus tahun apabila data dirakam padanya menggunakan piawaian JIS X6257 ini. Pioneer juga mengatakan bahawa cakera Blu-Ray ini menyokong semua pembaca Blu-Ray sedia-ada tanpa masalah.

Perakam Blu-Ray Pioneer BDR-WX01DM hadir dengan tanda harga 59,800 yen, manakala cakera Pioneer IPS-BD11J03P DM pula dijual pada harga 2340 yen untuk tiga keping cakera Blu-Ray di pasaran Jepun buat masa ini.

View Original Article