Pisang, Bawang Dan Cili Dalam Cekodok? Resipi Unik Dari India Selatan Tarik Perhatian Warganet

FoodCooking
10 Jun 2026 • 3:26 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Pisang, Bawang Dan Cili Dalam Cekodok? Resipi Unik Dari India Selatan Tarik Perhatian Warganet

LUAR NEGARA – Selepas tular dengan hidangan nasi lemak versi mereka sebelum ini, sekumpulan pencipta kandungan masakan dari India Selatan sekali lagi mencuri perhatian warga maya apabila berkongsi resipi cekodok pisang yang cukup berbeza daripada kebiasaan.

Menerusi video yang dikongsikan oleh saluran Villatic Foods, beberapa bahan yang jarang digabungkan dalam cekodok pisang dilihat digunakan termasuk bawang merah cincang, cili, serbuk cili serta rempah-rempah tertentu bersama pisang yang telah dipotong kecil.

Dalam video tersebut, bahan-bahan berkenaan dicampurkan bersama tepung sebelum digaul sehingga sebati dan dibentuk menjadi bebola besar sebelum digoreng sehingga keemasan.

Hasil akhirnya menyerupai cekodok atau cucur pisang bersaiz besar dengan gabungan rasa manis, pedas dan berempah yang jarang ditemui dalam resipi tradisional di Malaysia.

Pelbagai Reaksi Netizen

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-ratanya terkejut melihat penggunaan bawang dan cili dalam hidangan berasaskan pisang.

“Cekodok savoury ek,” tulis seorang pengguna.

“Cekodok pisang savoury,” komen seorang lagi.

Seorang netizen pula berpendapat hidangan tersebut lebih sesuai dipanggil cucur pisang berbanding cekodok pisang.

Ada juga yang mengakui teruja untuk mencuba resipi berkenaan kerana gabungan rasa manis dan pedas yang dianggap unik, manakala sebahagian pengguna lain menyifatkannya sebagai sesuatu yang agak luar biasa.

Pernah Tular Dengan Nasi Lemak

Sebelum ini, kumpulan sama turut menarik perhatian pengguna media sosial Malaysia apabila menghasilkan nasi lemak versi mereka yang mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Setakat ini, video berkenaan telah menerima ratusan tanda suka serta puluhan komen daripada pengguna media sosial yang tertarik dengan kelainan resipi tersebut. – The Malaysian Update


Sokong TMU

Jika anda menghargai usaha TMU dalam menyampaikan berita, maklumat dan isu semasa yang bermanfaat, anda boleh memberi sokongan secara sukarela.

Sokongan anda membantu kami terus menghasilkan laporan, artikel dan kandungan berkualiti untuk rakyat Malaysia.

Sokong TMU di sini

The post Pisang, Bawang Dan Cili Dalam Cekodok? Resipi Unik Dari India Selatan Tarik Perhatian Warganet appeared first on The Malaysian Update.