Pitas, Kota Marudu dilanda banjir

26 Jan 2023 • 1:35 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Pitas dan Kota Marudu menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dengan 79 mangsa daripada 21 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Pitas, manakala operasi menyelamat mangsa masih dijalankan di Kota Marudu, sehingga pagi Rabu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan 87 mangsa daripada 20 keluarga pula ditempatkan di dua PPS di daerah Paitan, menjadikan mangsa banjir di Sabah pagi Rabu meningkat kepada 166 orang daripada 41 keluarga, berbanding 65 orang daripada 16 keluarga malam Selasa lalu, menurut laporan Bernama.

Menurut kenyataan itu, dua PPS dalam daerah Paitan iaitu Dewan Kampung Kubambangan menempatkan 38 mangsa daripada 10 keluarga manakala 49 mangsa daripada 10 keluarga berada di Dewan Kampung Batangon Darat.

Tiga PPS di Pitas iaitu Rumah Ketua Kampung Sinasak Batu menempatkan 18 mangsa daripada enam keluarga, Surau Kampung Sibuang menjadi tempat berlindung buat 38 mangsa daripada sembilan keluarga dan Dewan Kampung Kusilad pula menempatkan 23 mangsa daripada enam keluarga.

“Bencana banjir berlaku disebabkan hujan lebat berterusan bermula pagi semalam. Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan dijangka meningkat,” menurut kenyataan itu, Rabu.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kota Marudu Alexander Yong berkata Bilik Gerakan Bencana Alam Daerah telah dibuka berkuat kuasa pukul 3 pagi pada Rabu, manakala Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) digerakkan untuk beroperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam (Banjir) Kota Marudu itu berkata Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) juga telah diarahkan untuk melaksanakan operasi penyelamatan di lapangan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan cuaca bagi negeri Sabah pada Rabu diramalkan hujan di beberapa tempat melibatkan kawasan Pantai Barat, Sandakan dan Kudat, serta hujan di satu dua tempat di pedalaman dan Tawau.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya di Sandakan (Beluran dan Sandakan) serta Kudat, hingga hari ini.

Kenyataan sama turut memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk diramalkan berlaku di Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud) dan Sandakan (Telupid) bagi tempoh sama.

Selain itu, hujan berterusan tahap waspada diramalkan berlaku hingga hari ini termasuk di kawasan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran) dan Sandakan (Kinabatangan).

Sementara itu di KOTA MARUDU, wartawan Harian Ekspres Patimang Abdul Ghani, melaporkan keadaan banjir di Pitas dan Kota Marudu agak membimbangkan di mana tiga buah sungai utama berada pada paras bahaya dan dianggarkan jumlah mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah dibuka di kedua-dua daerah ini mencecah 4,000 orang.

Sebanyak 33 buah kampung terjejas di Kota Marudu manakala di Pitas 30 buah kampung terjejas, 19 buah PPS yang telah dibuka di kedua dua daerah ini.

Antara PPS yang dibuka ialah PPS Dewan Komuniti, Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan, Kampung Asin-Asin, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek, SMK Bengkongan, SK Ranau, Dewan Masolog, Dewan St Theresa dan PPS Dewan Kampung Kusilad di Pitas.

Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Lancur, Asin-Asin, Baliajung, Benkongan, Tandek, Tambun, Linukaan, Kuranji, Tigaman, Marudu Laut, Mara Sim-Sim, Bukit Lalang, Balagaton, Longob, Rakit, Tingkalanon, Ongkilan, Popok Laut, Pekan Lama, Tanjung Batu, Tongkugon, Tandek Laut, Rasak Laut, Tambun Laut, Popok Darat, Morion, Rakit Lama, Tarangkapas, Gorungtong, Marudu Darat dan Kampung Sumbilingon.

Di Pitas, antara kampung yang terjejas ialah Kampung Sibaung, Sinasak Batu, Rukom Laut, Kusilad, Kalumpang, Kalumpang Pantai, Sumbilingon, Tambilidon, Pinggan Pinggan, Liu Laut, Ungkup, Mangkabusu, Mangkapon Darat, Batu 10 laut, Bilangau Besar, Kemiri, Datong, Boluuh, Kuyuh, Ranggu dan Kampung Taka.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Zairolnizal Ishak ketika dihubungi berkata, jumlah ketua isi rumah (KIR) dan mangsa di semua PPS adalah berdasarkan anggaran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) proses pendaftaran masih dijalankan oleh pihak JKM dan Angkatan Pertahanan Awam (APM)

Daerah Kota Marudu telah diisytihar banjir pada jam 3 pagi manakala daerah Pitas pada jam 6 pagi pada Rabu, sementara proses pemindahan mangsa banjir masih giat dilaksanakan oleh pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, APM, JKM, Angkatan Tentera Malaysia, RELA, Pasukan Gerakan Am dan Pasukan pacuan empat roda.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.