PJ BOYS FC rangkul Kejuaraan Liga DEF Musim Ketiga dengan rekod cemerlang

LocalFootball
28 Aug 2025 • 4:55 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available
Pasukan yang ditubuhkan pada 2023 hasil kerjasama PIBG bersama pihak SK Padang Jawa terbukti menjadi platform pembangunan bakat bola sepak sejak di bangku sekolah rendah.

Pasukan bola sepak PJ BOYS FC melakar kejayaan gemilang apabila menjuarai Liga DEF Musim Ke-3 tahun 2025 dengan rekod tanpa kalah sekali gus mengukuhkan reputasi sebagai pasukan pelapis yang konsisten di peringkat akar umbi.

Sepanjang tujuh minggu saingan, PJ BOYS FC mencatatkan kemenangan bersih dalam semua perlawanan hanya dibolosi satu gol sahaja.

Keutuhan benteng pertahanan itu turut menyaksikan penjaga gol utama pasukan dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik manakala penyerang berbakat mereka menerima anugerah Penyaring Gol Terbanyak hasil ketajaman penyudah sepanjang kejohanan.

Pasukan yang ditubuhkan pada 2023 hasil kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersama pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Jawa, Shah Alam, Selangor itu terbukti menjadi platform pembangunan bakat bola sepak sejak di bangku sekolah rendah.

Ketua Jurulatih, Nasrudin Ali menyifatkan kejayaan tersebut sebagai manifestasi kerjasama erat antara pemain, ibu bapa dan pihak sekolah.

image is not available
Nasrudin

"Sejak musim pertama lagi, kami menekankan disiplin, semangat berpasukan dan motivasi. Kejayaan kali ini tidak hanya menggembirakan pasukan, tetapi menjadi bukti bahawa usaha berterusan dan sokongan ibu bapa mampu melahirkan pasukan yang konsisten,” jelas beliau.

Menurutnya, kejayaan merangkul kejuaraan musim pertama dan ketiga ini memberi isyarat jelas bahawa PJ BOYS FC berada di landasan tepat untuk terus melahirkan generasi pemain muda berpotensi tinggi.

"Pihak pengurusan berharap kejayaan ini dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan bola sepak peringkat sekolah seterusnya melahirkan bakat yang mampu diketengahkan hingga ke peringkat negeri dan kebangsaan," ujarnya.

image is not available

Dengan rekod yang cemerlang, PJ BOYS FC kini bukan sahaja menjadi kebanggaan sekolah malah lambang kesungguhan masyarakat setempat dalam membina masa depan bola sepak negara.