PJKM catat jualan RM4.49 juta di Pahang

24 Jun 2022 • 5:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KUANTAN - Sebanyak 145 lokasi di Pahang telah melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dengan nilai jualan mencecah lebih RM4.49 juta dalam tempoh Disember tahun lalu hingga 19 Jun ini.

Dalam tempoh itu, seramai 218,322 pengguna di negeri ini telah mendapat manfaat daripada program tersebut.

Timbalan Menteri Kewangan 1, merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, sepanjang tempoh itu 20 pasar raya di Pahang telah mengambil bahagian.

Menurutnya, PJKM peringkat negeri Pahang diteruskan bermula Jumaat hingga 30 Jun ini melibatkan 14 lokasi secara serentak.

"Sebanyak 14 pasar raya mengambil bahagian dengan menawarkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga sehingga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan 'walkabout' PJKM peringkat negeri Pahang di sebuah pasar raya di Taman Tas di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Muhamad Radzi Johari.

Mohd Shahar berkata, melalui program itu, pengguna dapat merancang pembelian dan membuat pilihan bijak bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah.

"Saya dan juga pihak KPDNHEP bagaimanapun mengingatkan semua peniaga agar sentiasa beretika dan mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan kerajaan.

"Pada masa sama, pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tiada elemen pencatutan dalam pasaran," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved