
KOTA BHARU: Program Jualan Rahmah (PJR) yang menawarkan pelbagai barangan keperluan dengan harga berpatutan sangat dinantikan penduduk di sini, terutama sebagai bekalan persiapan mereka bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Seorang warga emas Siti Ramlah Samsuddin, 72, dari Kampung Atas Paloh berkata beliau berkunjung ke PJR di Kampung Kubang Pasu hari ini, bagi membeli barangan keperluan yang boleh digunakan sepanjang musim tengkujuh.
“Kebanyakan pembeli berharap inisiatif kerajaan ini dalam membantu meringankan beban kos sara hidup menerusi PJR, dapat diteruskan dengan lebih kerap di kawasan mereka memandangkan banjir menghampiri.
“Di sini kami beli stok barangan dapur seperti gandum, gula, beras, sos, kicap dan beberapa barangan lain untuk persediaan pada tengkujuh,” katanya ketika ditemui Bernama di PJR di Kampung Kubang Pasu di sini hari ini.
Siti Ramlah berkata harga yang ditawarkan hari ini sangat berpatutan berbanding sebelumnya, termasuk ayam dengan harga RM6 satu kilogram (kg), gula premium RM3, gandum RM2.50 dan beras RM15 untuk lima kilogram, yang secara amnya dapat menjimatkan perbelanjaan bulanan.
Seorang lagi pembeli, Siti Fatimah Abdullah, 44, berkata beliau ke program jualan itu bagi mendapatkan barangan keperluan ibu dan kakaknya, yang tidak mempunyai kenderaan untuk berkunjung ke situ.
“Kami memang mengikuti jadual PJR, memandangkan keluarga besar yang memerlukan banyak bahan makanan asas setiap bulan.
“Bagi saya menerusi PJR ini, pembelian amat berbaloi dengan membolehkan kami dapat kuantiti barangan yang lebih banyak,” katanya. -Bernama
