PKNS bangunkan kuaters pekerja berpusat bernilai RM120 juta di Bandar Sultan Suleiman

27 Jun 2023 • 10:09 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PKNS bangunkan kuaters pekerja berpusat bernilai RM120 juta di Bandar Sultan Suleiman

zulfadli

27/06/2023 - 10:09

KUALA LUMPUR 27 Jun - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membina sebanyak 336 unit rumah bagi menempatkan seramai 5,712 pekerja untuk projek Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) di Bandar Sultan Suleiman, Klang, Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, komitmen PKNS tidak berbelah bahagi dalam memupuk persekitaran hidup yang sihat dan mampan untuk pekerja migran di Selangor.

"Majlis pecah tanah Laman Lestari di Bandar Sultan Suleiman ini menandakan peristiwa penting dalam merealisasikan visi serta strategi PKNS ke arah memastikan kebajikan dan kesejahteraan hidup pekerja-pekerja ini dapat dipertingkatkan," katanya dalam kenyataan media di sini.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari merasmikan majlis pecah tanah CLQ, sekali gus menandakan permulaan projek pembangunan Laman Lestari bernilai RM120 juta.

Amirudin turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PKNS dengan Inter Great Sdn Bhd serta PKNS FM Integrated Sdn Bhd bagi mengukuhkan lagi komitmen perbadanan untuk memupuk persekitaran hidup yang berkualiti dan mampan bagi pekerja migran di Selangor.

Mahmud berkata, dengan terbinanya CLQ di Bandar Sultan Suleiman, PKNS secara strategiknya telah memenuhi keperluan pekerja industri di kawasan ini yang menjadi aset kepada pembangunan industri Selangor.

Katanya, ketiadaan penginapan pekerja yang khusus di kawasan ini menyebabkan pekerja tinggal secara berselerak di pangsapuri serta flat berhampiran, dan inisiatif ini bertujuan menangani isi tersebut dengan berkesan.

image is not available

"SPV Management Co., dengan usaha sama antara Kumpulan Inter Great dan anak syarikat PKNS, PKNS FM Integrated akan bertanggungjawab menguruskan Laman Lestari bagi menjaga kebajikan pekerja yang tinggal di sana.

"Kemudahan pembangunan yang telah siap ini akan disewakan dalam jangka masa panjang kepada SPV Management Co. bagi memastikan pendekatan menyeluruh dalam pengurusan dan operasi," katanya.

Dalam pada itu, projek ini dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, dengan tarikh penyerahan projek pada 2024 dan sijil siap diperoleh pada 2028.

image is not available

Pembinaannya meliputi kawasan tanah seluas 1.76 hektar, dan setiap unit CLQ dilengkapi tiga bilik tidur, satu bilik air dan tempat makan yang khusus.

Ia turut dilengkapi perabot serta kemudahan asas seperti lampu, kipas, dapur elektrik, meja, kerusi, katil, tilam, bantal dan almari berkunci.

Selain itu, ia juga dilengkapi pelbagai kawasan awam termasuk medan selera, surau dan ruang terbuka yang luas untuk aktiviti dalaman bagi memastikan kesejahteraan pekerja.

Demi mengutamakan kebajikan pekerja migran ini, kesemua unit CLQ akan disewakan dengan anggaran yuran bulanan berjumlah RM350 seorang. - DagangNews.com