
SHAH ALAM, 12 JUL: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus mengukuhkan peranannya sebagai pemangkin ekonomi menerusi pelbagai program pembangunan usahawan sejak hampir tiga dekad lalu.
Timbalan ketua pegawai eksekutif (Korporat) PKNS berkata inisiatif berterusan itu bukan sahaja memupuk daya saing dalam kalangan usahawan, malah mewujudkan ekosistem ekonomi setempat yang mampan dan lestari.

“Sejak 1996, PKNS telah melaksana pelbagai program strategik seperti PROTUNe, BIZCLUB, GROW dan GROW PLUS. Sebahagian usahawan program ini sudah memasarkan produk mereka ke peringkat global.
“Ini membuktikan program dianjurkan PKNS membuahkan hasil membanggakan dan mencerminkan keberkesanan strategi menyeluruh yang diterapkan bagi melahirkan ramai usahawan,” kata Suhaimi Kasdon ketika berucap pada Karnival Usahawan PKNS (KUP) hari ini.
Terdahulu, EXCO Keusahawan Mohd Najwan Halimi merasmikan karnival yang berlangsung di Kompleks PKNS dekat sini sejak semalam hingga esok.
Beliau menyasarkan nilai transaksi jualan mampu mencecah RM200,000 susulan sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 120 usahawan termasuk pelajar sekolah.

Selain menampilkan produk pelbagai perusahaan tempatan, KUP turut memberi ruang kepada usahawan muda menonjolkan potensi termasuk pelajar sekolah.
Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang Muhd Adam Hafif Abdullah berkata KUP menjadi platform untuk dirinya mengembangkan produk kraf tangan diusahakan sejak enam tahun lalu.
“Bimbingan PKNS memudahkan saya menjual kraf tangan (mengait). Saya belajar sepenuhnya dari YouTube. Ada banyak terima tempahan dan program PKNS bantu saya untuk luaskan pasaran,” katanya.
KUP menjadi antara inisiatif strategik PKNS dalam menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana dengan menghubungkan usahawan kepada pasaran, latihan dan jaringan industri.

The post PKNS tekad lahir lebih ramai usahawan berdaya saing, pacu ekonomi setempat appeared first on Selangorkini.

