SHAH ALAM, 10 SEPT: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sedang membangunkan pusat pengumpulan jagung bijirin di Tanjung Sepat, Kuala Langat.
Ketua pegawai eksekutif kumpulannya berkata pembinaan pusat seluas 300 ekar yang menempatkan mesin pengeringan dan penguraian itu kini sudah mencapai 30 peratus.

“Pusat pengumpulan ini turut dilengkapi tempat penyimpanan yang mampu menampung kapasiti kira-kira 200 tan jagung.
“Setakat ini, tuaian jagung bijirin sedang dijalankan dan hasil tanaman menunjukkan perkembangan yang positif,” kata Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan delegasi PKPS akan mengadakan lawatan rasmi ke Sabah dalam masa terdekat bagi membincangkan hasrat memperluas projek tanaman jagung bijirin berkualiti tinggi.
“Kita adakan perbincangan sebelum ini dan kertas kerja telahpun dibentang. Sabah menunjukkan minat untuk meneruskan kerjasama ini ke peringkat seterusnya.
“Oleh itu, kita akan adakan lawatan kerja sekali lagi dalam masa terdekat untuk meninjau tapak tanaman jagung bijirin,” katanya.

Pada 21 Januari, Kerajaan Negeri menerusi PKPS menuai 118 tan hasil pertama jagung bijirin berkualiti tinggi yang mula ditanam tahun lalu.
Projek julung kali itu bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada import makanan ayam sekali gus mengurangkan atau menstabilkan harga ayam di negeri ini.
The post PKPS bina pusat kumpul jagung bijirin di Tanjung Sepat appeared first on Selangorkini.
