PETALING JAYA, 20 NOV: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengenalpasti 60 ekar lagi kawasan sesuai bagi pelaksanaan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) komponen Insiatif Usahawan Tani (INTAN).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohd Razi berkata ia termasuk rintis Tenaga Nasional Berhad (TNB), tanah kosong dan terbiar sesuai untuk projek pertanian bandar yang dijangka bakal memanfaat sekurang-kurangnya 100 peserta.
“Selepas ini kita mengorak langkah untuk adakan 60 ekar tanah seperti di bawah rintis TNB serta kawasan kosong yang terdapat di Selangor untuk projek seperti IPR.

“Buat masa ini kita sudah kenal pasti kawasan dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk MPKj (Majlis Perbandaran Kajang) serta Ampang Jaya untuk menggunakan sepenuhnya kawasan tanah kosong dan akan tingkatkan ekonomi miskin bandar terutamanya,” katanya.
Ditemui selepas meninjau projek IPR INTAN@PJ City Food Valley yang mengusahakan tanaman fertigasi cili besar Isnin lalu, beliau berkata tanaman cili, nenas atau kontan lain boleh ditanam di kawasan baharu yang bakal dibangunkan.
“Kita akan laksana survey dan buat perancangan berkaitan selepas itu akan lancar program (dijangka) bermula Januari (tahun depan),” katanya.
Beliau menambah penglibatan golongan muda antara sasaran selepas ini bagi memastikan pertanian terus diremajakan dan mendapat penyertaan anak muda dengan lebih ramai.
“Kita sedang dalam perbincangan untuk masuk ke universiti dan galakkan mereka buat praktikal di kawasan projek IPR. Sebab itu sistem pertanian kita banyak menjurus kepada Internet kebendaan (IoT) kerana ia dekat dengan golongan muda dan kita mahu latih mereka untuk bangunkan program pertanian,” katanya.

Terdahulu, program IPR INTAN @PJ City Food Valley di sini berjaya memperoleh hasil bersih tuaian pertama cili fertigasi sebanyak 550 kilogram (kg) yang dibangunkan di kawasan rIntis TNB seluas 10 ekar.
Ogos lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM100 juta tahun ini untuk pelaksanaan projek INTAN-IPR secara permintaan untuk cadangan (RFP) oleh syarikat swasta terpilih.
Ia bertujuan meningkatkan keberkesanan pembasmian kemiskinan, menambah pendapatan rakyat, menambah kemampanan bekalan makanan dan membantu usaha mengawal harga makanan di pasaran.
Projek pertanian yang boleh diusahakan adalah tanaman atau ternakan yang memberikan hasil dalam tempoh kurang dua tahun dan mempunyai potensi penggunaan teknologi ladang moden.



The post PKPS kenal pasti 60 ekar tanah projek pertanian bandar appeared first on Selangorkini.
