PKPS, NAFAS jalin kerjasama perluas capaian produk, perkukuh keterjaminan makanan

LocalBusiness & Finance
1 Sep 2026 • 9:06 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PKPS, NAFAS jalin kerjasama perluas capaian produk, perkukuh keterjaminan makanan

SERDANG, 1 SEPT: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bagi memperluas capaian produk menerusi saluran pemasaran kedua-dua pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata kekuatan kedua-dua organisasi dimanfaatkan menerusi memorandum persefahaman (MoU) membabitkan projek yang dianggarkan bernilai RM30 juta.

“Kerjasama ini melibatkan pengedaran produk, penggunaan teknologi, pemasaran serta pertukaran kepakaran dalam sektor yang diceburi PKPS dan NAFAS.

“Pertukaran MoU ini menjadi titik tolak untuk kita pergi lebih jauh dalam memasarkan produk sedia ada PKPS, iaitu produk Ehsan, menerusi outlet, saluran dan rangkaian pemasaran yang dimiliki NAFAS,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Sesi Pertukaran MoU antara PKPS dan NAFAS sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini hari ini.

Menurut Khairil, PKPS kini mempunyai 244 outlet serta pembekal yang menawarkan produk Ehsan dan sedang memperluas capaian produk berkenaan, termasuk ke seluruh negara.

“MoU hari ini juga menjadi lonjakan untuk kita mencapai sasaran itu dengan lebih cepat, selain mempercepat usaha keterjaminan dan capaian makanan yang dilaksanakan menerusi SEED 2030 sebagai salah satu tonggak PKPS bagi tempoh 2026 hingga 2030,” katanya.

SEED 2030 merupakan kerangka hala tuju strategik PKPS bagi tempoh lima tahun yang selari dengan aspirasi pembangunan negeri Selangor serta agenda keterjaminan makanan negara.

Sementara itu, Pengurus Besar NAFAS Muhammad Faris Arriffin berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen pihaknya bersama Kerajaan Selangor menerusi PKPS dalam memperkukuh sektor pertanian, khususnya bidang input pertanian dan penternakan.

“MoU ini bukan yang pertama dan terakhir kerana kita memang sudah mempunyai beberapa kolaborasi dengan PKPS sehingga kini. Kita berharap dapat meneruskan dan mengembangkan kerjasama ini supaya dapat membantu khususnya penternak dan peladang di Selangor serta seluruh negara,” katanya.

Terdahulu, sesi pertukaran MoU bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan” itu turut disaksikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Haji Mohamad Sabu.

Menerusi persefahaman itu, PKPS akan menjadi salah satu pusat pengedaran rasmi produk keluaran NAFAS, selain membekalkan produk segar seperti ayam, daging dan makanan laut, makanan sejuk beku serta barangan kering di bawah jenama Ehsan PKPS.

NAFAS pula akan menjadi pusat pengedaran produk PKPS serta membekalkan input pertanian seperti baja dan racun, selain memperluas pengedaran produk makanan berasaskan jenama ‘Peladang’.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved