PKR dakwa Hadi Awang hidup dalam fantasi, cuba kelirukan rakyat isu harga minyak

LocalPolitics
9 Apr 2026 • 12:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian pada Rabu berhubung kenyataan dikeluarkan Abdul Hadi berkaitan isu minyak.

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang didakwa hidup dalam fantasi dan cuba mengelirukan masyarakat awam dengan pandangan logiknya, tiada sebab kerajaan menaikkan harga minyak susulan kapal Malaysia tidak termasuk dalam senarai sekatan laluan di Selat Hormuz.

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Keadilan, Amidi Abdul Manan berkata, jika itu adalah alasannya, timbul persoalan bahawa Selat Hormuz hanya laluan bagi 20 peratus minyak dunia.

Menurutnya, maka 80 peratus lagi minyak dunia bergerak melalui laluan lain dan tiada kena mengena dengan Selat Hormuz.

"⁠Jadi, kenapa harga minyak dunia naik dengan mendadak walaupun sebahagian besarnya tidak melalui Selat Hormuz?

"⁠Ia secara jelas terkait dengan jumlah bekalan yang dihasilkan oleh negara pengeluar serta kos operasi yang meningkat.

"Media melaporkan penurunan 30 peratus pengeluaran minyak oleh negara teluk memberikan kesan yang signifikan terhadap bekalan minyak dunia. Situasi ini sekali gus menaikkan harga minyak," ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Pas mengingatkan umat Islam di negara ini agar tidak terus membiarkan diri ditipu oleh pelbagai helah politik dan ekonomi, termasuk isu kenaikan harga minyak yang didakwa tidak berasas.

Abdul Hadi menegaskan, tiada sebab kukuh untuk harga minyak dinaikkan di Semenanjung Malaysia memandangkan negara ini mempunyai sumber petroleum sendiri dan tidak terlibat dalam sekatan antarabangsa terhadap Iran di Selat Hormuz.

Menurut Abdul Hadi, pengecualian harga minyak di Sabah dan Sarawak membuktikan bahawa alasan kenaikan harga di Semenanjung adalah sesuatu yang boleh dipersoalkan.

Beliau mendakwa Malaysia tidak terjejas oleh sekatan terhadap Iran kerana keberanian rakyatnya menyokong kedaulatan negara Islam tersebut.

Amidi turut mempersoalkan sama ada kekeliruan itu disengajakan atau dikeluarkan tanpa sedar?

"kegagalan memahami dan menilai satu-satu situasi boleh menimbulkan kesan negatif.

"Dalam hal ini Abdul Hadi cuba memberikan satu pandangan bahawa kenaikan harga minyak adalah hasil daripada kegagalan pengurusan kerajaan.

"Akhirnya bersemaraklah kebencian dan kemarahan yang boleh menggugat kestabilan politik negara yang mana akan menguntungkan politik sempit Pas," ujarnya.